Pamela diculik oleh ‘polis’?

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Datin Seri Pamela Ling Yueh yang hilang ketika dalam perjalanan untuk memberi kete­rangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ­Putrajaya pada 9 April lalu dipercayai dilarikan oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis.

Memetik laporan Malaysia Kini, peguam kepada Pamela, N Sivananthan mendakwa ia berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pemandu e-hailing yang membawa Pamela pada hari kejadian.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat pemandu e-hailing itu, kenderaannya dipintas ketika mereka hampir tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

“Ketika melalui Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya yang terletak bersebelahan dengan bangunan SPRM, tiga kenderaan iaitu dua daripadanya berwarna biru gelap dan putih menghentikan keretanya.

“Seorang lelaki memakai jaket (vest) polis dan seorang wanita berpakaian seragam polis kemudian meminta Pamela mengikut mereka,” katanya.

Dakwa Sivananthan lagi, individu berkenaan turut mengambil MyKad pemandu e-hailing itu dan membawa Pamela pergi sebelum pemandu terbabit membuat laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa hari ini enggan langsung mengulas lanjut berhubung dakwaan terbabit, namun mengesahkan siasatan sedang dijalankan.

Misteri kehilangan wanita berusia 42 tahun itu menyebabkan ahli keluarganya risau mengenai ke­selamatannya ekoran wanita itu langsung tidak dapat dihubungi atau membalas mesej melalui aplikasi telefon bimbit.

Abangnya, Simon Ling Wan Siong, turut mengeluarkan ke­nyataan memohon bantuan orang ramai dan merayu pihak berkuasa mempercepatkan usaha mengesan adiknya itu.

Menurut Wan Siong, Pamela menghantar mesej terakhir kepada peguamnya pada pukul 1.57 tengah hari, memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba pukul 2.08 petang.

Polis kini giat menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.

Sehingga hari ini, Pamela sudah hilang selama 26 hari.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |