SHAH ALAM – Para pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu cepat menyesuaikan diri dengan arus pembangunan global bagi memastikan kemajuan holistik kepada diri sendiri dan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini penting memandangkan dunia sedang menuju ke arah pendigitalan dan pelaksanaan Kecerdasan Buatan (AI).
Menurutnya, pada masa pelajar diingatkan agar tidak sesekali mengabaikan nilai dan akhlak diri selaras dengan konsep Madani.
“Saya selalu sebut dalam pendidikan agar kita menggapai langit sama ada AI, digital dan yang canggih semua namun mesti berakar di bumi.
“Apa yang akar dibumi iaitu nilai, budaya, akidah dan akhlak. Jadi, apabila kedua-duanya terangkum barulah bangkit sahsiah Madani,” katanya semasa sesi dialog pada Majlis Temu Anwar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Management and Science University (MSU).
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan 4,000 pelajar IPT seluruh negara.
Anwar turut mengingatkan agar golongan muda tidak mengabaikan nilai asas pengetahuan ekoran dunia mencapai kemodenan pada tahap berbeza.
“Terdapat defisit sekarang dengan kita memanggilnya masa Postnormal
iaitu dunia menjadi huru-hara dengan pencangahan kebenaran dan keadilan menjadi relatif.
“Itulah sebab mengapa kita harus kembali kepada isu asas mengapa anda berada di sini (IPT). Ingat anda bukan ‘sacred cow’ (seseorang atau sesuatu yang dianggap tidak boleh diganggu atau dipersoalkan) tetapi anda adalah manusia yang mempunyai nilai dan etika,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar mengulangi kepentingan AI dalam memenuhi keperluan mendesak tenaga pakar dalam bidang itu di negara ini.
Jelas beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi juga diarahkan untuk menyelaraskan perkara berkenaan sama ada di Universiti Awam (UA) atau swasta bagi menangani perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE