‘Hutang RM4.65 juta, tak sangka orang popular buat begini’

10 hours ago 6

PETALING JAYA – Syarikat pengilang tudung, Obor Holding Sdn. Bhd. mengesahkan syarikat milik pelakon dan usahawan wanita popular, Nur Fazura Sharifuddin berhutang hampir RM4.65 juta dengan pihaknya.

Pengasas merangkap pengarah urusan Obor Holding, Lim Boon Hai, 42, ketika dihubungi Kosmo Online sebentar tadi berkata, pihaknya sudah memfailkan tuntutan mengikut lunas undang-undang selepas syarikat milik Fazura iaitu FazFit dan Pink Fate enggan memberikan kerjasama.

“Kami dah failkan kes ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lalu (April). Sudah menghantar notis kepada syarikat milik selebriti terbabit namun tidak langsung mendapat respons.

“Saya tidak menyangka dilayan seperti ini. Memang sukar untuk menuntut hutang sejak penghujung 2023 daripada (pihaknya).

“Pihak saya sudah mencuba bermacam-macam cara untuk menghubungi pihak sana (Fazura) namun tidak mendapat kerjasama yang baik. Disebabkan kes (hutang) ini, status kewangan syarikat (Obor dan Feline) sangat terjejas,” katanya.

Tambah Bom Hai atau senang dibahasakan sebagai Sam, apa yang diterima pihaknya daripada syarikat milik Fazura hanyalah janji-janji palsu sejak dua tahun lalu.

“Janji nak bayar tapi apa yang kami dapat hanyalah janji-janji kosong. Saya takkan ke depan (cerita pada media), andai semua dakwaan tidak benar.

“Saya memang tak sangka orang sepopular dan sehebat Fazura sanggup membuat kami tertunggu-tunggu bagai buah tak gugur mendapatkan hak kami sebagai pengilang tudung.

“Saya tak nak orang atau pihak lain menerima nasib sama seperti kami. Jangan mudah percaya dengan orang popular atau mereka yang berpengaruh.

“Saya terbuka untuk berbincang di luar mahkamah tapi nampaknya perkara itu takkan kerana keengganan pihak sana untuk memberi sebarang kerjasama. Jadi, inilah jalannya,” katanya lagi.

Boon Hai juga mendedahkan menerima cek tendang RM1 juta yang ditandatangani pihak Fazura.

“Betul. Pihak saya menerima cek tendang berjumlah RM1 juta daripada pihak sana. Memang tak sangka benda ini berlaku,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan syarikat pengilang tudung milik Obor Holding iaitu Feline Malaysia syarikat Fazura berhutang hampir RM4.65 juta.

Obor Holding Sdn Bhd selaku pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn. Bhd. yang diketahui umum sinonim dengan Fazura selaku pengasas bersama (co-founder) telah dibekalkan tudung dengan nilai RM7.3 juta sejak Jun 2022.

Namun Pink Fate hanya membayar RM2,680,167.90 dari jumlah tersebut sekaligus masih berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada pihak Feline.

Obor Holding turut mendakwa pihaknya mula berdepan kesukaran untuk mengutip bayaran sejak Disember 2023. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |