PDRM siasat dakwaan Pamela dilarikan oleh ‘polis’

7 hours ago 5

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil maklum tentang dakwaan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang hilang ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 April lalu, dilarikan oleh individu yang menyamar sebagai polis.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan tersebut.

“Kita (PDRM) masih menyiasat informasi yang menyatakan mangsa dilarikan oleh individu berpakaian seragam atau vest polis.

“Pihak polis masih meneliti sama ada dia dilarikan oleh polis sebenar atau individu yang menyamar sebagai polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Razarudin, siasatan juga turut mengambil kira rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Jelasnya lagi, semua maklumat dan keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil termasuk kenyataan daripada pemandu Grab yang membawa Pamela sedang dikumpulkan.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan lagi secara terperinci berhubung siasatan kes kehilangan Pamela.

Beliau berkata ia dikhuatiri boleh menjejaskan sebarang perancangan dan tindakan susulan yang bakal diambil selain siasatan yang ada.

“Pada masa ini, saya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk membantu Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam siasatan kes berkenaan sekaligus menjejaki keberadaan Pamela.

“Pihak Bukit Aman dan Kontinjen Kuala Lumpur sedang meneliti segala fakta dan petunjuk yang ada dalam mengesan mangsa,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada penculikan Pamela ini dirancang oleh pihak tertentu disebabkan aset dan harta yang dimiliki namun sebaliknya tidak menolak kemungkinan kes ini dirancang untuk mewujudkan kesalahan pada pasukan SPRM dan PDRM.

Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM sekitar pukul 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang.

Misteri kehilangan wanita itu menyebabkan ahli keluarganya risau mengenai ke­selamatannya ekoran wanita itu langsung tidak dapat dihubungi atau membalas mesej melalui aplikasi telefon bimbit.

Abangnya, Simon Ling Wan Siong, turut mengeluarkan ke­nyataan memohon bantuan orang ramai dan merayu pihak berkuasa mempercepatkan usaha mengesan adiknya itu.

Menurut Wan Siong, Pamela menghantar mesej terakhir kepada peguamnya pada pukul 1.57 tengah hari, memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba pukul 2.08 petang.

Polis kini giat menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.

Sehingga hari ini, Pamela sudah hilang selama 26 hari.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |