Bicara kes saman Fahmi terhadap tiga individu termasuk Papagomo 2 Oktober ini

10 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 2 Oktober ini bagi perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil terhadap tiga individu termasuk Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo.

Dalam prosiding pendengaran hari ini, peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi berkata Hakim Roz Mawar Rozain telah membenarkan permohonan plaintif (Fahmi) supaya ketiga-tiga kes saman berkenaan dibicarakan bersama.

“Mahkamah kemudian menetapkan 2 dan 3 Oktober ini untuk perbicaraan,” kata peguam itu.

Prosiding berkenaan turut dihadiri peguam Mohammed Zamri Ibrahim yang mewakili Mohd Fauzan.

Saman itu difailkan Fahmi secara berasingan pada 5 September 2023 terhadap Wan Muhammad Azri, penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook “N13 Kuang” Mohd. Fauzan Madzlan berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.

Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd. Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu tidak berasas, dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |