Edika nafi kasari bekas isteri sejak 22 tahun lalu

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Didakwa berkasar dalam tempoh 22 tahun perkahwinan, pelakon Edika Yusof menyangkal tuduhan bekas isterinya Nor Hidayah Yusri bahawa antara punca perceraian adalah disebabkan tindakan ganasnya.

Edika atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Abd. Majid, 58, turut mempersoalkan kenyataan dikeluarkan Nor Hidayah yang hanya berkongsi tuduhan tersebut sekarang.

“Tiada kena-mengena dengan keganasan. Dia ada tiga abang besar, tiga adik lelaki, (semuanya) enam orang dan anak-anak pun dah besar.

“Takkan mereka diam. Lagipun kalau berlaku keganasan dalam rumah tangga, kenapa bukan dari dulu buat laporan, kenapa baru sekarang?

“Apa-apa dikongsi itu hak dia, saya pun boleh cakap ada 20,30 bukti kalau mahu. (Cuma) ini bukan pertandingan tiada siapa akan menang,” katanya selepas pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah hari ini.

Menurut bapa kepada dua anak itu, dia memenuhi permintaan Nor Hidayah untuk bercerai agar kemelut tidak berpanjangan atau memalukan anak-anak.

“Saya tak ingin lagi bertelagah mengenai hal begini. Kami akan mendapat malu, anak-anak pun dapat malu. Kita kena jaga air muka anak-anak.

“Jangan gaduh-gaduh, fokus pada anak dan kita muhasabah diri. Kalau dia perlukan kaunseling, pergilah,” ujarnya.

Ditanya sama ada rakan terdekat menjauhkan diri selepas muncul dakwaan keganasan domestik, Edika bersyukur ramai memahami serta memberikan sokongan.

Sebelum itu, bekas isterinya mendakwa menyimpan bukti dalam bentuk rakaman vifeo dan gambar berkaitan tuduhan terhadap lelaki terbabit.

Bahkan anak-anak terutama anak perempuannya, Fareena Nurulhaq, 20, dikatakan menjadi saksi selain polis kerap diminta datang ke kediaman mereka untuk mengawal keadaan.

Terdahulu, Edika dan Nor Hidayah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pada pukul 10.42 pagi tadi.

Wanita berusia 47 tahun itu memfailkan perceraian terhadap Edika pada Februari lalu yang juga permohoman kali kedua selepas berbuat demikian tahun lalu.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |