MADRID – Real Madrid secara terbuka memberi keizinan kepada bintangnya, Rodrygo untuk membuat keputusan mengenai masa hadapannya selepas Arsenal dilaporkan berminat untuk membawa pemain sayap lincah itu ke Stadium Emirates musim depan.
Walaupun masih berbaki tiga tahun dalam kontraknya di Santiago Bernabeu, Rodrygo dikatakan mula merasakan dirinya tidak dihargai dan telah berfikir selama beberapa bulan bahawa masanya bersama Madrid akan berakhir.
Pemain berusia 24 tahun itu menunjukkan prestasi uar biasa apabila berjaya menjaringkan 68 gol dalam 267 penampilan buat Los Blancos selain turut membantu kelab gergasi Sepanyol itu memenangi 13 piala dalam tempoh enam tahun.
Kehadiran bintang besar seperti Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan rakan senegaranya, Vinicius Junior yang terus bersinar, membuatkan dirinya tenggelam dan hanya mampu menjaringkan enam gol dalam kempen La Liga musim ini.
Situasi itu menyaksikan Arsenal sedia mengambil peluang untuk memperkukuh jentera serangan mereka pada jendela perpindahan musim panas ini dalam usaha memburu kejayaan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas gagal melakukannya tiga musim berturut-turut.
Kecederaan dialami dua penyerangnya, Gabriel Jesus dan Kai Havertz memaksa The Gunners perlu bertindak awal untuk mencari pemain serangan berprofil tinggi untuk membantu merealisasikan impian itu musim depan.
Selain itu, Manchester City juga dikatakan berminat dengan Rodrygo membuatkan Arsenal dipercayai telah membuat langkah awal dengan membuat pertanyaan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Harga jualan yang diminta oleh Real sebanyak €100 juta (RM476 Juta), namun, semuanya bergantung kepada perbincangan antara Rodrygo dan jurulatih baharu kelab berkenaan yang berkemungkinan besar bakal ditawarkan kepada pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alongso jika semuanya berjalan lancar. – AGENSI