XIAMEN – China meneruskan dominasi mereka selepas menundukkan Korea Selatan 3-1 untuk menjulang gelaran ke-14 Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2025 di Xiamen semalam.
Aksi penutup kejohanan berpasukan campuran itu menyaksikan kelebihan berpihak kepada tuan rumah apabila tampil dengan taktikal berbeza berbanding Korea yang kepenatan selepas bertarung sengit di separuh akhir menewaskan Indonesia sehari sebelumnya.
China membuat kejutan apabila menurunkan Wang Zhi Yi bagi acara perseorangan wanita menggantikan tempat Chen Yu Fei, manakala pasangan muda, Liu Sheng Shu-Tan Ning dipilih meminggirkan beregu wanita berpengalaman, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
China memulakan perlawanan dengan kemenangan beregu campuran menerusi Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping menewaskan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 21-16, 17-21, 21-15.
“Kami ada peluang di pertengahan set ketiga tetapi saya melakukan kesilapan sewaktu servis dan kami kehilangan rentak.
“Kami sudah beri yang terbaik tetapi aksi semalam terlalu berat dan otot saya masih tegang menyebabkan pergerakan agak terbatas,” ujar Yu Jung.
Korea menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanita apabila pemain No. 1 dunia, An Se Young tidak berdepan masalah menundukkan Zhi Yi 21-17, 21-16.
“Gelaran Piala Sudirman keempat dan akhirnya saya berjaya menang di pentas final. Tekanan dalam acara berpasukan berbeza dan saya gembira dapat mengatasinya,” kata Se Young.
Harapan Korea untuk mengubah kedudukan tidak kesampaian selepas pemain perseorangan lelaki mereka, Jeong Hyeok Jin tumpas 5-21, 5-21 sekali gus memberikan mata kedua buat tuan rumah.
China mengesahkan kejuaraan menerusi kejayaan Sheng Shu-Tan Ning yang menewaskan Baek Ha Na-Lee So Hee 21-14, 21-17 dalam tempoh 55 minit.
Keputusan itu mengukuhkan cengkaman China selaku kuasa besar badminton dunia, terutama dalam kejohanan berpasukan campuran. – AGENSI