OPR dijangka turun minggu ini

11 hours ago 6

PETALING JAYA – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, dari tiga peratus kepada 2.75 peratus pada mesyuarat Khamis ini.

Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan itu berdasarkan situasi ekonomi semasa yang dilihat bakal terkesan akibat kejutan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).

“Apabila OPR dikurangkan, ia bakal memberi suntikan ekonomi terutamanya permintaan domestik seperti penggunaan dan pelaburan.

“Ekonomi Malaysia adalah sangat terbuka dari segi perdagangan antarabangsa dan pelaburan portfolio asing serta pelaburan langsung asing (FDI).

“Oleh itu, situasi tarif ini bakal memberi impak negatif terutamanya kepada sektor eksport negara ke AS, yang merupakan salah satu rakan dagang utama Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bank Muamalat turut menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia susulan kejutan tarif AS, daripada 4.7 peratus kepada 4.1 peratus tahun ini.

Bank of Thailand antara bank pusat yang telah menurunkan kadar faedah utama baru-baru ini, daripada dua peratus kepada 1.75 peratus. Ia dilihat sebagai langkah awal untuk menangani risiko penurunan pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah kejutan tarif, penurunan ketibaan pelancong dan keadaan kewangan yang ketat.

Pada masa sama, Afzanizam turut menjangkakan kedudukan ringgit bakal terus mengukuh berbanding dolar AS, disebabkan keyakinan terhadap matawang itu semakin merosot berikutan tarif timbal balik yang akan memberi impak negatif kepada ekonomi AS.

Pada pukul 12 tengahari, kadar pertengahan tukaran asing ringgit berbanding dolar AS mencapai 4.2. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |