Maritim rekod rampasan terbesar cecair campuran dadah RM15 juta

10 hours ago 6

ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya merampas cecair campuran dadah bernilai RM15juta yang dipercayai untuk diseludup keluar menerusi perairan negeri ini ke negara jiran, Khamis lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan itu adalah yang terbesar pernah direkodkan agensi berkenaan membabitkan bahan kimia tersebut.

Jelasnya, hasil ujian awal dilakukan cecair itu mengandungi tiga bahan kimia utama iaitu methamphetamine, ekstasi dan nikotin yang digunakan untuk menghasilkan dadah sintetik.

“Risikan Maritim Negeri bersama Bahagian Perisikan Maritim (MIND) dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia berjaya mengesan 15 kotak dibalut plastik hitam di pesisir Pantai Pengkalan Balak, berhampiran Pusat Latihan Perahu Layar.

“Hasil pemeriksaan kotak tersebut sekitar pukul 9.40 malam menemui 179 botol mengandungi 1 liter cecair bahan kimia yang digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik bernilai hampir RM15 juta,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, di Kuala Linggi, di sini, semalam.

Tambahnya, bungkusan kotak itu ditemui dalam keadaan dilonggokkan di atas batu di tepi laut berkenaan bagi memudahkan untuk ia diambil dan diseludup keluar ke negara jiran menggunakan bot pancung.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya turut mengesyaki kegiatan itu melibatkan warga tempatan sebagai dalang yang mengatur masa untuk penyeludupan dilakukan, namun tidak dapat mengesahkan sama ada ia membabitkan komuniti nelayan.

“Kita yakin pasaran gelap negara jiran juga sedang mengalami peningkatan permintaan dadah sintetik, cuba membangunkan makmal memproses dadah kerana jumlah ini mampu memenuhi bekalan 300,000 hingga 800,00 penagih.

“Bahan ini juga boleh digunakan sebagai cecair isian rokok elektronik atau vape, justeru kita tidak menolak kemungkinan ia turut digunakan sebagai cecair vape di negara kita kerana bahan ini diseludup keluar dari sini,” ujarnya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana melibatkan bahan kimia terkawal yang disalahgunakan untuk penghasilan dadah berbahaya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |