KUALA LUMPUR – Pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) bagi membentuk masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme dan sayangkan kepada negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun tidak semua 100 peratus rakyat negara ini patriotik dan cintakan negara, tetapi program ini sebagai satu langkah intervensi membentuk masyarakat cintakan negara.
Jelasnya, Kementerian Pertahanan bukan sahaja menyokong usaha memperkenalkan semula PLKN 3.0, tetapi juga nekad untuk memberikan yang terbaik dalam memastikan kejayaan perlaksanaannya.
“Bagi Kementerian Pertahanan dan kerajaan secara umumnya, kita mahu dalam masyarakat kita akan sentiasa ada generasi yang sedar akan peranannya, tanggungjawabnya dan nilainya
pada tanah air.
“Kita mahu khususnya dalam generasi muda, wujud sekumpulan anggota masyarakat yang cakna akan isu-isu keselamatan dan kedaulatan serta faham kepentingan
perpaduan keupayaan bertoleransi terhadap perbezaan serta sanggup untuk memberikan yang terbaik kepada negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PLKN 3.0 dan Pelantikan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara di Wisma Pertahanan hari ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pelantikan ahli majlis itu juga diharap bukan sahaja dapat mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti, keseriusan dan matlamat murni PLKN 3.0.
Malah katanya, ia juga membuka ruang untuk segala pengalaman sudut pandangan serta pengalaman kepimpinan dikongsikan untuk kebaikan negara.
“Perlantikan ini merupakan pengiktirafan terhadap keupayaan dan pengalaman semua ahli majlis. Ia juga merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh dedikasi bagi memupuk kesedaran terhadap pelatih akan semangat patriotisme.
“Saya yakin bahawa barisan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) kali ini adalah gabungan yang mantap mewakili pelbagai latar belakang dan pengalaman.
“Kombinasi ini amat penting dalam memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil adalah inklusif dan mencerminkan kepelbagaian masyarakat kita,” katanya.
Terdahulu, seramai sepuluh orang ahli MLKN terpilih setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (SPB YDP Agong) pada 14 April 2025.
Pelantikan ahli MLKN adalah selaras dengan Seksyen 7, Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) yang memperuntukkan bahawa MLKN perlu ditubuhkan berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam pelbagai bidang strategik bagi membantu merangka dasar, menyelia pelaksanaan, serta menasihati kerajaan berkaitan hala tuju PLKN.
Melalui pelantikan ini, ahli-ahli MLKN adalah bertanggungjawab dalam memberi nasihat kepada kerajaan, merangka dasar strategik PLKN, memantau pelaksanaan program, serta menyelaras penglibatan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.
Tempoh pelantikan yang telah diperturunkan kepada ahli MLKN adalah selama tiga tahun lantikan sehingga pelantikan baharu oleh SPB YDP Agong.-KOSMO! ONLINE