KUALA LUMPUR – Skuad boling padang negara menutup Kejohanan Boling Padang Asia di Clark, Filipina dengan mempertahankan kejuaraan keseluruhan menerusi 10 pingat, tujuh emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus mengukuhkan status sebagai kuasa besar benua Asia.
Skuad muda negara turut mencuri tumpuan apabila Mohamad Fikri Mohamad Hashim dan Nur Zamziezah Ahmad menghadiahkan emas kategori bawah 25 tahun (B-25) beregu campuran sebelum Zamziezah turut meraih satu lagi emas perseorangan wanita B-25.
“Pemain muda sangat bersemangat, dahagakan ilmu dan sentiasa mahu buktikan sesuatu. Bila diberi peluang, mereka tidak hampakan. Proses transisi ke arah membentuk tonggak baharu kini berjalan dengan tersusun,” kata ketua jurulatih negara, Zuraidi Puteh.
Satu-satunya gangsa hadir menerusi acara perseorangan lelaki, hasil usaha Izzat Shamir yang menunjukkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan.
Trio wanita negara, Nur Alyani Jamil, Balqis Anisha dan Syafiqa Haidar pula meraih perak dalam acara triples selepas tewas tipis kepada India di pentas akhir.
“Persiapan kali ini sangat rapi. Kami pilih pemain berdasarkan ranking terbaik, jalani latihan berfasa dan sesi perlawanan persahabatan yang dirancang teliti bersama Majlis Sukan TUDM di Sendayan. Semua ini beri impak besar,” tambah Zuraidi.
Kesemua tujuh emas negara hadir menerusi acara berpasukan lelaki (pairs, triples, fours), berpasukan wanita (perseorangan, pairs) serta B-25 tahun perseorangan wanita dan beregu campuran).
Kejayaan kali ini juga menyaksikan Malaysia menyapu bersih gelaran juara keseluruhan kategori lelaki, wanita dan berpasukan iaitu pencapaian luar biasa meletakkan skuad negara dalam kedudukan terbaik menghadapi Kejohanan Dunia akan datang.
“Setiap kejohanan memerlukan perancangan baharu. Kami akan nilai venue, jenis gelanggang dan kelajuan permukaan sebelum susun strategi serta pemilihan pemain. Kemenangan ini bukan penamat, tapi permulaan kepada misi lebih besar,” jelas Zuraidi. – KOSMO! ONLINE