Kilang AT&S di Kulim mula keluarkan substrat IC berskala besar

7 hours ago 5

KULIM – Pengeluar papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu (IC) global, AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd. memulakan pengeluaran berskala besar menerusi kilangnya di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), di sini sejak Mac lalu.

Naib Presiden Eksekutif Unit Perniagaan Mikroelektroniknya, Ingolf Schroeder berkata, kilang itu membekalkan substrat IC berprestasi tinggi kepada gergasi semikonduktor dunia, AMD.

“Fasiliti AT&S di sini berjaya disiapkan dalam masa dua tahun dan setahun selepas itu, kilang ini sudah bersedia untuk membuat pengeluaran berskala besar.

“Ia bukan hanya satu pencapaian kepada AT&S, malah bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia seiring dengan Strategi Semikonduktor Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di kilang berkenaan di sini hari ini.

Kata beliau, kilang berkenaan menjadi sebahagian daripada rangkaian global AT&S yang turut merangkumi China dan Austria.

“Gabungan tiga lokasi ini digelar Segitiga Substrat yang berkongsi teknologi dan kepakaran dalam mencapai potensi sepenuhnya,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga yakin operasi pengeluaran di KHTP akan terus meningkat susulan permintaan tinggi terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), teknologi realiti maya (VR), teknologi realiti terimbuh (AR) dan pusat data.

Berhubung tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat, katanya, produk tersebut tidak terkesan kerana substrat IC adalah sebahagian daripada komponen pertengahan, bukan produk akhir.

Sementara itu, beliau berkata, AT&S Malaysia buat masa ini mempunyai kira-kira 1,500 pekerja dan lebih banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan pada masa depan.

Jelasnya, pihaknya juga bekerjasama erat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Collaborative Research in Engineering and Science and Technology Centre (Crest) selari dengan Strategi Semikonduktor Nasional.

Sementara itu, Pengarah Urusan AT&S Malaysia, Suan See Yap berkata, syarikat telah mendapat pengiktirafan sebagai tapak pengeluaran rasmi daripada AMD.

“Ini adalah hasil usaha keras semua dalam satu pasukan bagi mendapatkan pengiktirafan tersebut,” katanya.

AT&S yang berpangkalan di Austria itu telah melabur lebih satu bilion euro (RM5.12 bilion) di Kampus AT&S yang merupakan tapak pengeluaran pertama syarikat di Asia Tenggara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |