Nabila Razali jemput seluruh Kelantan ke majlis akikah anak

2 days ago 16

PETALING JAYA – Sempena sambutan Aidiladha, penyanyi Nabila Razali menjemput seluruh rakyat Kelantan ke majlis akikah bagi meraikan putera sulungnya, Baby M di Franky Corner, Kota Bharu pada 7 Jun ini.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 33, berkata, mereka sekeluarga ingin berkongsi kegembiraan dan kesyukuran dikurniakan zuriat lelaki yang menjadi pelengkap hidupnya dan suami, Nik Iruwan Nik Izani.

“Alhamdulillah, Baby M adalah hadiah terindah dalam hidup saya dan suami.

“Menjadi ibu adalah fasa yang sangat mencabar tetapi juga penuh bermakna.

“Kami memilih 7 Jun ini sempena Hari Raya Aidiladha untuk mengadakan majlis akikah dan kesyukuran sebagai tanda syukur selain ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat, saudara-mara dan penduduk setempat,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Pelantun lagu Peluang Kedua itu juga berharap orang ramai dapat meraikan anaknya serta mengambil kesempatan mengeratkan lagi hubungan bersama peminat.

“Saya dan suami amat berbesar hati sekiranya anda semua dapat hadir ke majlis ini.

“Bukan sahaja untuk meraikan Baby M, tetapi juga untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita dalam bulan yang penuh rahmat ini.

“Terima kasih atas doa dan kasih sayang yang tidak pernah putus,” ujarnya lagi.

Nabila turut berharap majlis diadakan di kampung suami berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan mesra komuniti.

Sebelum ini, Nabila selamat melahirkan anak lelaki sulungnya pada 23 Disember tahun lalu di sebuah pusat perubatan swasta di Lembah Klang.

Bayi yang diberi julukan Baby M itu dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram (kg).

Kehadiran zuriat pertama ini adalah detik paling membahagiakan dalam hidup pasangan tersebut yang melangsungkan perkahwinan pada 18 Disember 2023. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |