‘Moga umur saya panjang sampai Aidilfitri’

19 hours ago 4

MELAKA – Ramadan kali ini menjadi ujian terbesar buat Mohamad Nasirudin Md. Zen, 39, bekas pemain ragbi PDRM Melaka yang kini bertarung dengan kan­ser usus dan hati tahap empat.

Dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot, harapannya hanya satu, agar diberi peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Mohamad Nasirudin sebelum ini aktif bekerja sebagai penghantar barang untuk menyara keluarga, namun pergerakannya terbatas sejak empat bulan lalu.

“Penyakit saya mula dikesan Aidilfitri tahun lalu selepas ­me­ngalami sakit perut berterusan. Pemeriksaan lanjut mengesahkan kanser saya sudah me­rebak ke hati.

“Sejak itu, saya sering sesak nafas walaupun berjalan sebentar, hilang selera makan dan ­ke­rap letih. Berat badan daripada 108 kilogram (kg) kini tinggal 59 kg.

“Dunia saya gelap sekelip mata. Saya jenis suka bersukan, tiba-tiba diuji sebegini. Pernah sebulan langsung tidak boleh makan. Sejak itu, saya elakkan makanan bergandum dan susu, tetapi kanser ini tetap merebak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambatan Duyong di sini semalam.

Katanya, tekanan hidup semakin mencengkam apabila dia tidak lagi mampu bekerja menyebabkan isterinya, Norhayati Hassan, 42, terpaksa menguruskan segala keperluannya, anak serta ibu mentua yang uzur tanpa pendapatan tetap.

Demi menampung kos kehidupan, Nasirudin berkata, dia terpaksa menjual koleksi barang antik yang dikumpulnya selama ini, termasuk motosikal kesa­yangannya, Yamaha Pasolla dan Yamaha YB.

“Saya suka kumpul barang antik, separuh sudah saya jual. Motor Pasolla, kenderaan pertama saya itu yang paling berat untuk dilepaskan, tetapi saya tiada pilihan,” ujarnya.

Menurut Mohamad Nasirudin, dia telah memohon bantuan da­ripada beberapa agensi, namum setakat ini hanya menerima bantuan daripada Pertubuhan Kese­lamatan Sosial (Perkeso) selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berjanji untuk membantu.

“Saya hanya mahu terus hidup. Kalau Allah pinjamkan nyawa lebih lama, sekurang-kurangnya sehingga Aidilfitri nanti, saya sangat bersyukur. saya tahu kanser ini bagaimana.

“Anak saya, Mohamad Akil Naufal baru tujuh tahun. Saya tidak dapat bawa dia jalan-jalan se­perti bapa lain. Bila tengok orang lain bersama anak-anak mereka, hati saya hancur,” katanya sebak.

Sementara itu, mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke akaun Affin Bank 200328038486 atas nama Mohamad Nasirudin Md Zen atau menghubunginya di talian 017-6363103.

Read Entire Article
Pertanian | | | |