Mengapa hidupan liar boleh terlepas mesin pengimbas? – Anthony Loke

10 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Mesin pengimbas bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dinaik taraf bagi membendung insiden penyeludupan dan perdagangan hidupan liar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau telah pun mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk melaksanakan tindakan tersebut.

Tegasnya, beliau sama sekali tidak boleh berkompromi dengan insiden tersebut dan mengeluarkan surat peringatan kepada pihak terlibat supaya memastikan ia tidak berulang.

“Untuk KLIA kita akan memastikan supaya mesin-mesin pengimbas dapat ditambah baik. Kita sudah beri arahan kepada MAHB supaya lebih memantau dan memperkasakan prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek mengimbas bagasi penumpang.

“Mengapa ada hidupan liar boleh dibawa keluar dari lapangan terbang atau dibawa masuk ke dalam penerbangan? Ini insiden yang telah berlaku dan perlu diteliti,” katanya pada sidang media sempena Majlis Peluncuran Kiosk Sentuhan Madani di KL Sentral di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden dua individu yang tiba dari Kuala Lumpur ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna di Chennai, India selepas cuba menyeludup sejumlah primat, seekor musang dan seekor musang polecat dalam bagasi pada 7 Mac lalu.

Menjawab soalan lain, Anthony Loke berkata, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sudah mengambil tindakan segera memperbaiki kerosakan disebabkan panel dinding runtuh di Stesen LRT Masjid Jamek, semalam.

Menurut beliau, insiden itu merupakan kejadian kecemasan kerana pembaikan dan penyelenggaraan fasiliti dibuat sepanjang masa di semua stesen LRT.

Terdahulu, beliau memaklumkan, sebanyak 30 lagi lokasi di seluruh negara akan dilengkapi Kiosk Sentuhan Madani dan pemasangannya adalah secara berperingkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

“Kiosk ini menghimpunkan pelbagai kiosk perkhidmatan kerajaan di kawasan tumpuan orang ramai sebagai platform perkhidmatan digital untuk rakyat disamping menyokong agenda pendigitalan negara.

“Kiosk ini juga akan ditempatkan di lokasi terpilih termasuk di pusat membeli belah yang dapat memberi akses yang selesa serta mempunyai hari dan waktu operasi yang lebih panjang dari pejabat kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |