MBNS yang dikompaun bukan Era FM – Fahmi

19 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan Era FM tidak dikenakan kompaun sebaliknya Maestra Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS) iaitu pemegang lesen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, MBNS bukan individu tapi sebuah anak syarikat milik Astro yang punyai keuntungan substantif.

“Kompaun RM250,000 terhadap MBNS diberi izin oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berpandukan kepada beberapa faktor, termasuk pindaan Akta 588 yang telah berkuat kuasa sejak 11 Februari lalu.

“(Ini) di mana denda mahkamah maksimum telah dinaikkan kepada RM500,000,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan pengguna media sosial berhubung kompuan yang dikenakan terhadap beberapa individu berbanding syarikat yang berlaku ketika ini.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan dua individu iaitu Harith Iskander dan Cecelia Yap turut dikenakan kompaun RM10,000 masing-masing bagi kesalahan sama.

Namun, jumlah tersebut ujarnya, lebih rendah kerana kesalahan dilakukan sebelum 11 Februari, ketika denda maksimum di mahkamah masih tertakluk kepada kadar lama iaitu RM50,000.

Hari ini, Kosmo! melaporkan, MBNS dikenakan kompaun sebanyak RM250,000, bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari lepas), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

Terdahulu, MCMC telah menerima izin Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap.

Ia dibuat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari lepas. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |