IPOH – Produk kordial keluaran Syarikat Ameen Products Sdn. Bhd. (Ameen) menjadi yang pertama dari Perak berjaya menembusi pasaran Mali dari benua Afrika.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pencapaian Ameen itu sekali gus membuktikan produk keluaran syarikat tersebut sememangnya berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat global.
“Saya difahamkan ini produk kita yang pertama (dipasarkan ke Mali) sebab untuk masuk ke pasaran Mali bukanlah satu perkara mudah.
“Saya dimaklumkan Pengarah Urusan Ameen, Muhammad Irfan Amanulla Khan bahawa dia mendapat permintaan untuk masuk ke pasaran Mali melalui Gulfood 2025 yang dihadiri beliau.
“Jadi pentingnya usahawan-usahawan kita didedahkan dengan (peluang) perniagaan di luar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan produk Ameen ke Mali di sini hari ini.
Salbiah berkata, kerajaan negeri Perak mempunya program peluasan pasaran produk serta perkhidmatan yang dikelola oleh kakitangan dan dibantu oleh agensi-agensi untuk membantu usahawan-usahawan di negeri ini memasarkan produk mereka sehingga ke luar negara.
Sementara itu, Muhammad Irfan berkata, kumpulan pertama produk Ameen yang dieksport ke Mali melibatkan 16,800 botol ataupun 1,400 karton kordial berperisa bernilai RM90,000.
Katanya, ia melibatkan kordial berperisa mangga, oren, nanas, ros, anggur dan tropikal dengan kesemuanya akan dikaji oleh syarikat pengimport bagi menentukan perisa yang mendapat sambutan memberangsangkan dari pengguna di Mali.
“Mereka akan lihat perisa mana yang laris dan kita harap pusingan eksport kedua nanti lebih cepat dan besar (jumlah eksport),” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, mereka juga mempunyai prospek pelanggan dari beberapa buah negara Afrika yang lain seperti Senegal dan Afrika Selatan yang ditemui pada Gulfood 2025 di Dubai, Wmiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Februari lalu.
Beliau berkata, proses rundingan dengan mereka sedang berjalan dan akan dimuktamadkan setelah cabaran seperti kos penghantaran serta duti import selain harga jualan produk dapat diatasi. – KOSMO! ONLINE