Konflik Asia Barat beri kesan industri halal global – TPM

4 hours ago 5

SEBERANG PERAI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan konflik Asia Barat khususnya melibatkan laluan strategik, Selat Hormuz telah memberi kesan besar kepada rantaian bekalan global termasuk industri halal.

Menurut beliau, industri halal global tidak lagi hanya berdepan cabaran pasaran tetapi turut terkesan secara langsung oleh perkembangan geopolitik antarabangsa.

“Gangguan ini bukan sahaja menjejaskan sektor tenaga tetapi turut mencetuskan kesan domino kepada industri halal daripada peningkatan kos logistik, kelewatan penghantaran, sehinggalah kepada ketidaktentuan akses pasaran.

“Produk halal khususnya makanan segar dan barangan bersuhu terkawal, sangat bergantung kepada kecekapan rantaian bekalan global yang stabil,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri-Perda Halal di Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memberitahu lagi, kenaikan harga tenaga dan bahan mentah turut memberi tekanan kepada kos pengeluaran bekalan baja.

“Dalam beberapa sektor, baja sahaja boleh menyumbang sehingga 60 peratus daripada kos pengeluaran, sekali gus memberi kesan langsung kepada keseluruhan rantaian nilai makanan halal negara.

“Namun, di sebalik cabaran ini, terdapat satu realiti yang perlu kita lihat dengan lebih strategik. Ketidaktentuan global ini sebenarnya membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab halal yang stabil, dipercayai dan berdaya tahan,” ujarnya.

Katanya lagi, keupayaan Malaysia mempelbagaikan pasaran eksport, mengukuhkan rantaian bekalan domestik serta meningkatkan kecekapan logistik menjadi faktor penentu dalam memastikan industri halal negara terus berkembang walaupun dalam suasana global yang mencabar.

“Inilah masanya untuk kita beralih daripada sekadar bergantung kepada sistem global kepada membina kekuatan dalaman yang lebih kukuh, lebih tersusun dan lebih berdaya tahan.

“Kita mesti berada di barisan hadapan bukan sahaja sebagai peneraju pensijilan halal, tetapi sebagai kuasa besar dalam pengeluaran, inovasi dan perdagangan halal dunia,” jelasnya.

Beritahu beliau lagi, Malaysia telahpun diiktiraf sebagai antara peneraju industri halal global, dengan sistem pensijilan yang diyakini di hampir 50 negara serta kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama bertahun-tahun.

“Namun, potensi sebenar kita jauh lebih besar daripada apa yang telah kita capai. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, industri halal bukan sahaja membuka ruang pertumbuhan ekonomi domestik, malah menjadi pintu masuk Malaysia ke pasaran global yang lebih luas, merentasi Asia, Timur Tengah dan Eropah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |