Kartel jual beli tapak lot bazar Ramadan bakal didedah esok

6 hours ago 2

PETALING JAYA – Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) akan mendedahkan secara terperinci kegiatan kartel jual beli tapak lot bazar Ramadan yang tidak sah di sekitar ibu negara, esok.

Ia berdasarkan surat jemputan sidang akhbar yang diterima daripada persatuan tersebut hari ini bertajuk ‘Jemputan Sidang Media: Pendedahan Kartel Bazar Ramadan 1446H di Premis Milik Agensi DBKL, MARA & UDA’.

Minggu lalu, presiden persatuan PPPBWPKL, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya sedang melengkapkan bukti berkaitan isu kegiatan kartel tapak lot bazar Ramadan sebelum membuat hebahan kepada media.

“Yang sebenarnya isu jual tapak lot bazar ini sedang diperincikan, cuma nak lengkapkan sedikit saja lagi untuk buat hebahan di media.

“Persatuan mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), apabila dah didedahkan nombor-nombor tapak lot ini, DBKL perlu terus tangkap, batal dan sita

“Jelas apa yang saya nyatakan dalam sidang media beberapa minggu sebelum Ramadan, saya nyatakan ada penjualan tapak lot bazar berlaku,” katanya sebelum ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. zaliha Mustafa mengesahkan bahawa DBKL telah membuat laporan polis mengenai individu yang terlibat dalam manipulasi lesen bazar Ramadan tahun ini.

Beliau berkata kejadian yang berlaku itu agak mengecewakan apabila masih terdapat cubaan penjualan tapak yang dikesan melalui saluran WhatsApp.

Justeru, Rosli menegaskan jika pihak DBKL membuat laporan polis, sepatutnya pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah boleh mengambil tindakan segera.

“Saya minta DBKL perbaiki supaya kalau boleh kita nak kurang atau hapuskan isu kartel jual lot bazar ini. Tetapi saya nampak selepas empat hari Ramadan, banyak lot telah pun dijual. Ada banyak jual beli lot bazar terjadi,” katanya.

Untuk rekod, pada 23 Oktober tahun lalu, PPPBWPKL telah menyerahkan kelolaan dan penganjuran tapak bazar Ramadan sepenuhnya kepada DBKL bagi memastikan pengurusan yang lebih teratur dan telus bagi memberi ruang kepada penjaja yang layak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |