Kapal layar warga Australia hanyut empat hari diselamatkan TLDM

6 hours ago 1

LUMUT – Sebuah kapal layar wilik warga Australia, Meridian of Sydney yang hanyut selama empat hari akibat kerosakan jentera utama diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Perak di Kedah hari ini.

Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut berkata, Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3 (PUSOP MAWILLA 3) menerima maklumat pada pukul 11.30 pagi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai kegagalan komunikasi dengan kapal layar tersebut ketika dalam pelayaran dari Krabi, Thailand ke Langkawi, Kedah.

“Menyedari keperluan untuk bertindak pantas, TLDM segera menggerakkan Kapal Diraja (KD) Mahamiru untuk menjalankan pencarian bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“KD Mahamiru tiba di lokasi pada pukul 12.15 tengah hari dan mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar menyebabkan ia tidak dapat meneruskan pelayaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, seorang individu, Kepten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di atas kapal layar berkenaan dan dia telah berada di laut sejak 8 Mac lalu.

Menurutnya, TLDM terus bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal berupa makanan dan minuman kepada Holly sebelum melaksanakan operasi menunda kapal layar tersebut ke perairan Langkawi.

“Ketika kenyataan ini dikeluarkan, KD Mahamiru sedang menunda kapal layar tersebut ke Jeti Langkawi dan akan diserahkan kepada APMM untuk urusan selanjutnya.

“Kecekapan dan tahap profesionalisme warga TLDM dalam operasi ini membuktikan tanggungjawab dan amanah yang digalas adalah fokus utama dalam memastikan keselamatan maritim serta berkeupayaan untuk bertindak pantas dalam sebarang keadaan kecemasan di perairan negara,” katanya.

Katanya, kejayaan itu juga memperkukuhkan peranan TLDM sebagai barisan hadapan dalam keselamatan di laut, selaras dengan misi utama memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |