Junta Myanmar mansuh hukuman mati

3 hours ago 3

NAYPYIDAW – Presiden baharu Myanmar, Min Aung Hlaing menukar hukuman mati dalam satu perintah menyeluruh hari ini, salah satu tindakan rasmi pertama beliau sejak rampasan kuasa tentera dalam tahun 2021. 

Junta yang diketuai Jeneral Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan awam pimpinan ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi pada Februari 2021. 

Beliau menyambung semula hukuman mati selepas tidak dilaksanakan selama beberapa dekad dengan menyasarkan aktivis yang membantah rampasan kuasa tersebut, demikian menurut kumpulan-kumpulan  hak asasi manusia. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan lebih 130 orang dijatuhi hukuman mati pada tahun berikutnya, namun angka sebenar sukar untuk dipastikan susulan sistem mahkamah negara yang tidak telus dan tertutup. 

Selepas lima tahun memerintah sebagai ketua junta, Min Aung Hlaing dilantik Presiden Myanmar pada Jumaat lalu dalam peralihan yang digambarkan oleh badan pemantau demokrasi sebagai penjenamaan semula pemerintahan tentera.

Perubahan itu disertai dengan penamatan beberapa langkah tindakan keras yang dilaksanakan oleh junta selepas rampasan kuasa.

Komunike bagi pihak Min Aung Hlaing menyatakan bahawa ‘individu yang menjalani hukuman mati akan menerima pengurangan hukuman kepada penjara seumur hidup’, tanpa menamakan banduan tertentu.

Pengampunan pada Mei 2023 menyaksikan hukuman mati bagi 38 banduan individu dibatalkan, namun ia bukan langkah yang menyeluruh.

Keputusan hari ini diumumkan sebagai sebahagian daripada pengampunan meluas bersempena dengan tahun baru Myanmar, Thingyan yang merupakan cuti umum di  negara itu.

Lebih 4,300 banduan termasuk 179 warga asing dijadualkan untuk dibebaskan, manakala semua hukuman penjara kurang daripada 40 tahun akan dikurangkan sebanyak satu per enam. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |