PETALING JAYA – Integriti dan tadbir urus Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa ditingkatkan bagi memastikan pasukan keselamatan itu akan terus dihormati serta diyakini rakyat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Istana Negara, hari ini.
Pada istiadat itu, baginda menggesa semua agensi penguat kuasa menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti supaya rakyat tidak hilang kepercayaan serta terus menghormati uniform yang dipakai.
Jelas Razaruddin, perkara itu juga bertepatan dengan prinsip PDRM iaitu ‘Tegas, Adil dan Berhemah’ dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan serta menegakkan undang-undang.
“PDRM merafak sembah dan menjunjung kasih atas titah penuh hikmah baginda yang mengingatkan semua agensi penguat kuasa menjalankan tugas dengan penuh integriti supaya rakyat terus menaruh kepercayaan serta menghormati uniform yang dipakai.
“Kita akan terus memperkukuh usaha mempertingkatkan integriti, mengukuhkan tadbir urus yang baik serta memerangi segala bentuk salah laku demi memastikan imej pasukan sentiasa dihormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, PDRM sentiasa menitikberatkan nilai integriti sebagai tunjang utama dalam setiap tindakan warga pasukan.
“Integriti adalah amanah dan tanggungjawab wajib dipikul setiap anggota PDRM, sejajar ajaran Islam yang menuntut kejujuran, keikhlasan dan keadilan dalam setiap perbuatan.
“PDRM berdiri teguh di belakang titah baginda dan beriltizam menghayati nilai murni dalam melaksanakan tugas demi agama, bangsa dan negara,” katanya.-KOSMO! ONLINE