Ingkar arahan polis di SJR, pemandu Mercedes ditahan

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Polis menahan pemandu Mercedes putih yang tular meneruskan perjalanan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Sprint berhampiran Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini, hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian sebenar berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah malam pada 7 Julai lalu ketika anggota menjalankan Ops Pelbagai Kesalahan.

Menurut beliau, ketika anggota sedang memeriksa sebuah Toyota Alphard, Mercedes itu menghampiri lokasi sekatan sebelum pemandunya memperlahankan kenderaan dan membrek bagi mengelakkan pelanggaran dengan kenderaan di hadapan.

“Pemandu kemudian berhenti seketika di hadapan sekatan sebelum meneruskan perjalanan selepas tersalah tafsir isyarat anggota trafik yang menghampiri kenderaannya.

“Pemandu menyangka lambaian anggota adalah isyarat untuk meneruskan perjalanan, sedangkan isyarat itu sebenarnya bertujuan mengarahkannya berhenti di bahu jalan bagi tujuan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zamzuri berkata, polis berjaya mengesan pemandu berusia 20 tahun itu bersama pemilik kenderaan yang juga ibunya sebelum kedua-duanya hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee kira-kira pukul 1.30 pagi pada hari sama bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, pemandu memaklumkan tidak menyedari terdapat sekatan jalan raya sehingga menghampiri lokasi berkenaan, menyebabkan dia memperlahankan kenderaan dan membrek secara mengejut bagi mengelakkan pelanggaran.

Katanya, keadaan cuaca selain perasaan gugup kerana tidak pernah melalui sekatan jalan raya turut mempengaruhi tindakannya.

Pemeriksaan menyeluruh terhadap kenderaan itu tidak menemui sebarang barangan menyalahi undang-undang atau kesan kemalangan, manakala ujian saringan pernafasan alkohol ke atas pemandu didapati negatif.

“Pada kira-kira pukul 6.30 petang hari ini, pemandu terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26(1) Akta Polis 1967 kerana ingkar arahan sah yang diberikan anggota polis semasa menjalankan sekatan jalan raya.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan pada Isnin, 13 Julai ini bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya serta memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan kelancaran penguatkuasaan undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |