Industri kawalan makhluk perosak berdepan kenaikan kos 3 kali ganda

4 hours ago 4

PETALING JAYA – Industri kawalan makhluk perosak berdepan peningkatan kos operasi sehingga tiga kali ganda berikutan kenaikan harga diesel susulan krisis geopolitik antarabangsa.

Situasi itu malah berpotensi menjejaskan usaha pencegahan penyakit bawaan makhluk perosak sekiranya perkhidmatan kawalan tidak dapat dilaksanakan secara berterusan.

Presiden Bumiputera Integrated Pest Management Malaysia (BIPM), Wan Mohd. Yusri Wan Rawi berkata, industri kawalan makhluk perosak merupakan antara barisan hadapan dalam menjaga kesihatan awam negara melalui pelaksanaan kerja-kerja kawalan di lapangan.

Menurut beliau, antara perkhidmatan utama yang dijalankan ialah aktiviti penyemburan bagi membunuh nyamuk yang menjadi ancaman kepada kesihatan dan keselamatan awam.

“Ketika ini, kenaikan harga diesel dan petrol amat membebankan pengusaha, sama ada syarikat kecil mahupun syarikat besar,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengurusan Kawalan Perosak Malaysia (MPMA), Regine Lim berkata, sebahagian syarikat masih terikat dengan kontrak sedia ada yang dimeterai sebelum kenaikan harga bahan api dan tidak lagi selari dengan kos operasi semasa.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai pengusaha terpaksa menanggung beban kos yang tinggi, malah ada yang berdepan kerugian.

“Diesel merupakan bahan penting dalam operasi kawalan makhluk perosak, termasuk sebagai bahan pembawa dalam aktiviti penyemburan serta untuk tujuan logistik harian syarikat.

“Berdasarkan anggaran persatuan, penggunaan diesel melebihi 4.4 juta liter sebulan melibatkan 1,870 syarikat yang berdaftar di bawah Lembaga Racun Makhluk Perosak Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, kenaikan harga bahan api turut memberi kesan kepada harga racun, peralatan dan kelengkapan lain yang digunakan dalam operasi harian.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Yusri memaklumkan pihak persatuan telah mengadakan pertemuan dengan kementerian berkaitan termasuk menghantar surat bagi memohon pertimbangan kerajaan terhadap bantuan subsidi diesel kepada industri tersebut.

“Kebanyakan syarikat menggunakan kenderaan pikap bagi tujuan operasi, namun kenderaan tersebut tidak termasuk dalam kategori subsidi yang dinikmati sektor tertentu,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan bersasar kepada industri kawalan makhluk perosak memandangkan sektor itu memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan awam negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |