KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendedahkan bahawa sejak tahun 2020, pihaknya telah menyiasat hampir 1,200 kes disyaki penipuan faedah dan elaun dengan nilai tuntutan palsu keseluruhan mencecah RM61 juta.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, siasatan aktif terhadap 679 kes penipuan faedah berjaya menyelamatkan lebih RM48.64 juta dana keselamatan sosial hasil tindakan tegas termasuk penggantungan faedah dalam 383 kes.
“Ia sekali gus mencerminkan bahawa tadbir urus dan tata kelola yang tegas mampu memberi impak besar terhadap kecekapan sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian seminar Penipuan, Pengelakan dan Ralat Dalam Keselamatan Sosial Dan Tuntutan Insurans anjuran Perkeso dengan kerjasama Pemeriksa Perubatan Bebas Lembaga Amerika (ABIME), di sini, hari ini.
Tambah beliau, penipuan faedah kekal menjadi cabaran berterusan, dengan kerugian sebanyak RM2.1 juta direkodkan pada tahun 2024 akibat tuntutan tidak sah.
“Dalam usaha berterusan mengekang ketirisan dana, Perkeso juga menyemak semula Elaun Layanan Sentiasa (ELS) bagi memastikan kelayakan penerima disahkan secara berterusan.
“Sepanjang tempoh dari 2020 hingga April lalu, sebanyak 509 kes ELS disemak, dengan 117 kes atau 22.9 peratus dicadangkan digantung, sekali gus menyaksikan penyelamatan dana keselamatan sosial untuk jangka panjang menjangkau lebih RM12.2 juta,” katanya.
Steven Sim turut mengingatkan bahawa penipuan seumpama ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berpotensi merosakkan kepercayaan awam terhadap institusi yang ditubuhkan untuk melindungi kebajikan pekerja.
“Cabaran penipuan kini bersifat global, didorong oleh mobiliti buruh dan perkhidmatan rentas sempadan, justeru Malaysia perlu mengamalkan rangka kerja pencegahan menyeluruh meliputi pembaharuan undang-undang, penguatkuasaan tegas, inovasi digital dan komunikasi secara telus.
“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) komited sepenuhnya dalam menerajui pembaharuan sistem sosial negara dengan melibatkan seluruh ekosistem berkaitan,” jelasnya.
Seminar yang dihadiri lebih 400 peserta termasuk pakar perubatan, penguat kuasa, serta wakil industri insurans itu menjadi platform penting dalam membincangkan penyelesaian terhadap isu penipuan, kelemahan sistem serta amalan tidak beretika yang boleh mengancam kesinambungan perlindungan sosial negara.
Dalam perkembangan lain, Steven Sim turut mengumumkan penganugerahan The Lifetime Fellowship of the American College of Independent Medical Examiners (FACIME) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Katanya, pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan beliau dalam bidang perubatan hilang upaya dan kesihatan pekerjaan.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Presiden dan Pengasas ABIME, Prof Dr. Mohammed Ranavaya, dan diiktiraf sebagai kelayakan tertinggi dalam bidang Pemeriksaan Perubatan Bebas di peringkat antarabangsa.
Steven Sim menegaskan bahawa pencapaian tersebut merupakan satu kebanggaan kepada Perkeso, Kesuma dan seluruh rakyat Malaysia kerana ia membuktikan bahawa profesional tempatan mampu mencapai pengiktirafan global dalam bidang masing-masing. – KOSMO! ONLINE