PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati kebanyakan peniaga masih menggunakan dawai kokot untuk membungkus makanan yang dijual sebagai juadah berbuka puasa.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, terdapat beberapa keburukan menggunakan dawai kokot dalam pembungkusan makanan termasuk risiko ia boleh tertelan.
“Dawai kokot yang tercabut boleh bercampur dalam makanan tanpa disedari. Berisiko ditelan oleh pelanggan terutama kanak-kanak dan warga emas.
“Jika tertelan, dawai kokot boleh menyebabkan kecederaan dalaman seperti luka pada tekak, usus atau menyebabkan tersedak yang boleh membawa maut,” kata kenyataan itu.
Menurut DBKL, penggunaan dawai kokot juga boleh mencemarkan makanan kerana dawai kokot terkena air, minyak atau udara lembap boleh berkarat sekali gus meningkatkan risiko keracunan makanan.
Tambah DBKL, penggunaan dawai kokot juga tidak mesra alam kerana ia sukar diurai dan mencemarkan alam sekitar jika tidak dibuang dengan betul.
“Menjejaskan reputasi peniaga. Jika pelanggan menemui dawai kokot dalam makanan mereka, ia boleh menyebabkan aduan dan menjejaskan kepercayaan pelanggan terhadap peniaga serta bazar Ramadan itu.
“Tidak mengikut amalan keselamatan makanan. Petugas kesihatan dan keselamatan makanan melarang penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan kerana risiko bahaya yang tinggi,” kata DBKL.
Jelas DBKL, kaedah pembungkusan makanan yang lebih selamat adalah menggunakan klip atau getah pengikat atau memilih pembungkusan yang boleh ditutup tanpa perlu dawai kokot.
“Gunakan pita pelekat makanan atau pembungkusan yang boleh dikunci dengan selamat. Sebagai peniaga bertanggungjawab, pastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan sentiasa diutamakan.
“Moga dipermudahkan segala amal ibadah kita serta Aidilifitri yang bakal menjelma disambut dengan sihat sejahtera. Kita mampu mengubahnya,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE