KUALA LUMPUR – Jabatan Insolvensi melaporkan seramai 5,272 belia berusia 34 tahun ke bawah diisytiharkan muflis dalam tempoh daripada 2020 hingga tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, daripada jumlah tersebut, 5,189 individu berumur antara 25 hingga 34 tahun, manakala 83 lagi berusia di bawah 25 tahun.
“Trend kebankrapan dalam kalangan belia menunjukkan peningkatan pada tahun 2024 terdapat 877 kes, meningkat sebanyak 150 kes berbanding 727 pada tahun sebelumnya.
“Punca utama kes kebankrapan pada tahun 2024 adalah pinjaman peribadi yang menyumbang sebanyak 2,776 kes ataupun 46.4% daripada keseluruhan 5,977 kes bankrap, hampir 50 peratus,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead yang ingin tahu berkenaan jumlah belia muflis dalam tempoh 2020 sehingga kini.
Tambahnya, faktor lain yang menyumbang kepada trend muflis dalam kalangan belia termasuk pinjaman perniagaan (1,148 kes), pinjaman perumahan (474 kes), hutang lain-lain (463 kes), sewa beli kenderaan (444 kes) dan penjamin korporat (383 kes).
Bagi menangani isu ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara akan melaksanakan Kursus Literasi Kewangan Belia (Youth Financial Literacy) dari April hingga Oktober tahun ini di seluruh negara dengan sasaran 30,600 peserta menjelang 2030.
“Untuk tahun iniu, KBS turut melaksanakan program Genta Pemerkasaan Ekonomi Belia khususnya bagi zon tengah yang mengetengahkan elemen kos sara hidup kepada peserta belia.
“Selain itu Jabatan Insolvensi Malaysia juga telah dan akan terus melaksanakan pelbagai program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis dengan melaksanakan program bersama masyarakat, outreach program, jelajah insolvensi, program literasi kewangan serta kesan kebankrapan di peringkat agensi, kerajaan swasta, pelajar serta komuniti setempat,” katanya.-KOSMO! ONLINE.