Felai FX: ‘Bukan sekadar hiburan, tapi realiti masyarakat’

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan bakal digegarkan dengan kemunculan filem terbaharu berjudul Felai FX: Trader Gelap – Apa Mau Takut, sebuah karya berani yang mengangkat realiti dunia gelap bermula 30 April 2026.

Diterbitkan oleh Teguh Setanding dengan sokongan Ampmoves Sdn. Bhd, Felai FX mengetengahkan kisah penuh debaran mengenai sindiket perdagangan haram yang memperdaya mangsa melalui janji kekayaan segera.

Filem ini turut menampilkan sentuhan sinematografi bertaraf dunia oleh Mike Muschamp, seorang pengarah fotografi berpengalaman dari United Kingdom yang membawa visual filem ini ke tahap antarabangsa.

Felai FX juga merupakan karya terakhir yang menampilkan pelakon veteran Malaysia, Dharma Harun Al Rashid sekali gus menjadikan filem ini sebuah penghormatan penuh emosi kepada legasi seni beliau.

Naskhah  sebelum ini telah dipertontonkan secara eksklusif dalam satu tayangan khas amal yang dianjurkan oleh Ampmoves Sdn. Bhd. semasa momen getir beliau — menjadikan projek ini lebih bermakna dari sudut kemanusiaan dan industri.

Di sebalik dunia pelaburan yang kelihatan sah, tersembunyi rangkaian ‘trader gelap’ yang memanipulasi sistem dan manusia. Apabila seorang individu biasa terperangkap dalam jerat skim ini, dia terpaksa memilih antara kekayaan segera atau kebenaran yang pahit.

“Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu refleksi realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat. Kami mahu penonton bukan sahaja terhibur, tetapi juga lebih peka terhadap risiko penipuan kewangan,” demikian kata penerbit filem, Richard Ung.

Pengarah filem, Zamri Zakaria berkata, Felai FX diinspirasikan daripada kisah benar berkaitan fenomena penipuan pelaburan forex yang pernah tular sekitar tahun 2023 hingga 2024.

“Ketika itu, banyak kes scam melibatkan forex berlaku dan ramai yang terkesan.Jadi kami cuba menghasilkan cerita yang bukan sahaja menghiburkan tetapi membawa mesej kesedaran kepada masyarakat,” ujarnya.

Katanya, filem tersebut turut menyelitkan elemen keagamaan bagi memberi pemahaman kepada penonton mengenai hukum serta implikasi aktiviti berkenaan.

Dalam pada itu, pelakon Isyariana mengakui watak sebagai scammer yang dibawanya merupakan satu cabaran kerana memerlukan pemahaman mendalam.

“Saya perlu faham bagaimana mereka (scammer) berfikir dan perasaan mereka apabila memperoleh wang dengan cara itu. Ia mencabar, tetapi pada masa sama memberi pengalaman berbeza,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |