POKOK SENA – Ramadan dan Aidilfitri tahun ini amat sayu bagi empat beradik yang kehilangan ibu bapa mereka sekelip mata dalam kemalangan jalan raya di Pendang, dekat sini Januari lepas.
Muhammad Azril Hafizi, 15, meluahkan kerinduan kepada ibu bapa mereka, Allahyarham Mazlan Abu Hassan, 52, dan Noriza Saad, 34, apabila terpaksa menjalani ibadah puasa buat pertama kali tanpa mereka.
“Kami empat beradik merindui suasana berpuasa apabila bangun sahur mak yang kejutkan dan kami makan bersama-sama. Paling kami rindui adalah masakan ibu, rendang dan gulai ayam.
“Memang lain rasanya sebab ini kali pertama kami berpuasa tanpa ibu dan bapa, namun kami bersyukur kerana masih ada mak dan bapa saudara yang sudi menjaga kami seperti anak mereka sendiri,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudara mereka, Kasuadinata Saad, 45, di Kampung Tanjung Musang, di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Muhammad Azrul serta adiknya, Aina Damia termasuk dua adik kembar mereka yang berusia dua tahun, Nur Qaseh Melissa Mazlan dan Nur Chinta Melissa menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka, maut dalam kemalangan di Pendang.
Muhammad Azrul menambah, sebagai anak sulung dia berusaha menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada tiga adiknya itu terutama si kembar yang masih kecil.
Menurut ibu saudara mereka, Zuraina Abu, 53, mereka sekeluarga berusaha sedaya upaya menatang empat beradik tersebut dengan penuh kasih sayang agar mereka tidak merasa kehilangan berat itu.
“Saya memikul amanah yang diberikan oleh arwah ibu bapa mereka yang pernah berkata, kalau mereka meninggal dunia kelak, saya dan suami perlu jaga mereka sebaik mungkin.
“Anak-anak saya semua sudah besar dan kini rumah ini kembali ceria sebab ada kanak-kanak lagi. Mereka suka makan nasi tomato dan rendang jadi saya selalu sediakan untuk mereka,” katanya.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan E-Idaman Sdn. Bhd. dan KSDC Insurance Brokers Sdn Bhd. bagi menghulurkan bantuan berupa wang tunai dan barang makanan. – KOSMO! ONLINE