SHAH ALAM – Dua beradik yang sebelum ini tular menculik seorang lelaki dengan menghumban ke dalam sebuah lori didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh iaitu V. Kirtik Ram, 19 dan Theshvinram, 18 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Mohamad Redza Azhar Rezali.
Kedua-dua beradik tersebut bersama seorang lagi yang telah dituduh didakwa melarikan Muhamad Azwar Danish Rosmadi berusia 21 tahun dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan salah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda, sekiranya disabitkan kesalahan.
Kedua beradik itu juga dituduh sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pemuda sama dengan memukulnya seterusnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara boleh sampai setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Kesemua perbuatan itu dilakukan dua beradik itu di Jalan Persiaran Puchong Permai, Bukit Puchong pada pukul 6.38 petang pada 22 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memohon tarikh bagi serahan dokumen.
Peguam Noor Farazidah dan Mike Lim mewakili kedua-dua tertuduh dalam mitigasinya memaklumkan Kirtik merupakan pemandu lori dan adiknya adalah penghantar p-hailing dengan mereka menjaga nenek yang berusia 64 tahun.
“Mereka juga menyara tiga adik yang masih bersekolah dan kedua-dua tertuduh merupakan pesalah muda.
“Selain itu, mereka juga telah menyerah diri dan memberikan kerjasama baik sebelum ini,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 setiap seorang dan sebutan semula pada 8 September depan.
Pada 25 Julai lalu, seorang penghantar barang, P. Nandakumar, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 365 dan tidak diberikan jaminan mahkamah.
Nandakumar ketika itu diwakili Peguam Muhammad Saifullah, Moh Safwan Salleh dan M. Partiben dengan sebutan semula kesnya ditetapkan 8 September ini.
Sebelum ini, tular satu klip video memaparkan situasi cemas apabila seorang lelaki ditolak masuk beberapa individu ke dalam belakang sebuah lori.
Berdasarkan video berdurasi 15 saat itu, turut kelihatan sebuah motosikal yang rebah di atas jalan raya, namun tidak dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan mangsa.
Polis kemudiannya berjaya menahan empat suspek dalam tempoh dua hari bermula 23 Julai lalu dengan seorang daripadanya mempunyai tatu ahli kumpulan kongsi gelap, – KOSMO! ONLINE