‘Dia ejek saya gemuk, tendang sampai masuk longkang’

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Pernah berdepan pengalaman pahit, pengacara dan pelakon Sherry Alhadad mengakui sering dibuli ketika zaman persekolahan hanya kerana berbadan besar.

Kongsi Sherry atau nama sebenarnya Shariffah Mariam Syed Abdullah, 41, dia pernah ditendang sehingga jatuh ke dalam longkang tanpa sebab kukuh ketika di sekolah rendah.

“Bila berbadan besar, orang selalu perlekehkan, ejek dan buli, budak lelaki terutamanya. Semasa saya sekolah rendah, memang saya kurang keyakinan macam terfikir boleh ke saya buat, mampu ke lakukan.

“Waktu itu saya darjah empat, saya pernah turun bas, berjalan nak masuk sekolah. Tiba-tiba ada budak tendang, saya jatuh dan masuk longkang.

“Tapi sebab takut nak beritahu cikgu, saya diam dan masuk sekolah macam biasa walaupun baju kotor,” katanya dalam sebuah audio siar.

Bagaimanapun, pengalaman tersebut tidak melemahkan semangatnya, pengacara program realiti Big Stage itu bangkit ketika di bangku sekolah menengah hingga berani menegur pembuli.

“Bila masuk sekolah menengah, ada semangat dan ‘rebrand’ diri. Saya tingkatan satu, ada budak lelaki lebih kurang setahun atau dua tahun lebih tua panggil saya dan cakap saya gemuk.

“Saya pandang dia dan dalam hati terdetik ingat sekolah rendah orang buli dengan perkataan (gemuk) ini. Saya pun cakap dekat dia ‘dengan muka kau tak kacak, tidak sesuai panggil aku gemuk. Tengok diri kau macam mana.’

“Budak itu normal sahaja, elok juga. Tapi apa saya cakap buat dia terdiam, terpaku dan tersentap namun akhirnya kami terus jadi kawan,” jelasnya.

Sebelum ini, Sherry mengakui kekal dengan pendirian untuk tidak melakukan pembedahan bariatrik walaupun masih wujud segelintir pihak yang memandang serong terhadap fizikalnya.

Dalam masa sama, dia mengakui masih bergelut untuk menurunkan berat badan secara semula jadi iaitu dengan melakukan senaman dan diet pemakanan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |