PETALING JAYA – “Saya pun dah tak tahu nak komen apa. Kita balik main dengan kucing sajalah macam ini”.
Demikian sindiran Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berhubung 41 kertas siasatan kes jenayah terhadap ahli politik diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA)
Kata beliau, pengklasifikasian NFA antara tahun 2020 hingga Julai 2025 itu ibarat anugerah kebesaran darjat istimewa yang lebih bernilai berbanding pingat biasa.
“Nilai anugerah kebesaran ini pula saya ingat mesti berjuta-juta (ringgit) sebab setiap yang disenarai pendek mesti melibatkan urusniaga melibatkan juta-juta.
“Kita tidak tahu kes apa, tetapi pada pandangan rakyat, takkan ahli politik curi susu sebab tiada duit. Selalunya kes-kes jenayah ahli politik melibatkan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 41 daripada 60 kertas siasatan membabitkan kes jenayah yang dibuka terhadap ahli politik dalam tempoh 2020 hingga Julai lalu diklasifikasikan sebagai NFA.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, rakyat tidak ada maklumat terperinci mengenai jenayah apa dan siapakah ahli politik terlibat dalam kes tersebut.
Kata beliau, hanya diketahui ia melibatkan dua pentadbiran dan tiga Perdana Menteri dalam tempoh 2020 hingga Julai 2025.
Justeru, katanya, semua parti dan ahli politik tidak boleh menunding jari siapa lebih teruk berdasarkan ‘anugerah 68 peratus NFA’ kepada ahli politik tersebut.
“Kecualilah zaman saya sepuluh tahun lepas semasa saya membongkarkan skandal-skandal besar negara.
“Masa itu semua dakwaan terhadap saya tidak ada kena mengena dengan rasuah atau salah guna kuasa.
“Semuanya berkaitan usaha menutup mulut saya dari bersuara, jadi saya didakwa di bawah Akta Hasutan, didakwa menghina UMNO dan lain-lain,” katanya.
Rafizi berkata, selepas tahun 2018, dakwaan seperti itu sudah tiada kerana tiada ahli parlimen berani ambil risiko untuk membongkar rasuah.
“Bila lebih dua pertiga diberi ‘anugerah NFA’ dan tidak didakwa, saya fahamlah kalau rakyat bandingkan dengan layanan terhadap rakyat biasa dituduh curi susu,” katanya. – KOSMO! ONLINE