IKIM saran pihak terjejas dengan hantaran akaun Facebook palsu buat laporan polis

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menggalakkan orang ramai yang terkesan dengan akaun Facebook palsu menggunakan nama penyampai radio IKIMfm, Siti Rohani Surani supaya membuat laporan polis.

Ketua Pengarahnya, Prof.Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, akaun Facebook tersebut didapati masih aktif membuat pelbagai hantaran berbentuk video dan gambar pihak lain yang boleh mengundang fitnah serta menjejaskan maruah individu atau organisasi tertentu.

“Ini agar pihak yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan. IKIM akan terus memantau perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya demi menjaga nama baik organisasi serta semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azam berkata, IKIM memandang serius perkara tersebut kerana boleh menjejaskan kredibiliti radio IKIMfm serta menimbulkan salah faham terutama pengiklan radio yang turut menjadi mangsa dalam hantaran akaun facebook palsu itu.

Menurut beliau, Siti Rohani Surani hanya mempunyai akaun Facebook rasmi iaitu ‘Siti Rohani Surani -Rasmï’, maka sebarang kandungan dimuat naik di akaun Facebook palsu tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan IKIMfm mahupun Siti Rohani Surani.

Kata beliau, tindakan memalsukan akaun media sosial dengan menggunakan nama penyampai
IKIMfm sejak tahun 2013 adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“IKIM telah membuat laporan polis, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) serta pihak Meta Platforms, Inc. (Meta) bagi tindakan lanjut.

“IKIM juga telah mengeluarkan beberapa kenyataan penafian sebelum ini bagi menjelaskan bahawa akaun tersebut adalah palsu dan tidak mewakili radio IKIMfm mahupun penyampai yang terlibat,” katanya.

Justeru, kata beliau, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |