Kerajaan bersungguh perangi salah laku buli – Fadhlina

2 hours ago 1

PETALING JAYA – “Kerajaan Madani memang bersungguh-sungguh ingin memerangi salah laku buli,” kata Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek.

Menurut beliau, kesungguhan Kerajaan Madani untuk menangani salah laku buli bukan sekadar laungan kosong.

Kata beliau, tekad itu dikotakan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

“Semalam saya hadir ke Sesi Libat Urus Tribunal Antibuli yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

“Bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata, ketiga-tiga mereka mendengar dengan teliti pembentangan pakar serta sumbang saran yang dikongsikan oleh peserta yang hadir sesi tersebut.

Menurut beliau, orang ramai juga dialu-alukan untuk menyuarakan pandangan mengenai Tribunal Antibuli menerusi portal yang disediakan.

Kata beliau, ia. dilakukan bagi memastikan tribunal itu benar-benar mantap dan dapat dilaksanakan secara optimum bagi mencegah dan menangani isu buli.

“Usaha bagi menangani salah laku buli yang telah sekian lama berakar perlu dilaksanakan secara bersepadu rentas kementerian dan agensi serta melibatkan semua pihak berkepentingan,” katanya

Dalam hantaran berasingan, Fadhlina berkata, beberapa buah sekolah turut terjejas dan terdapat laluan terpaksa ditutup akibat banjir di Sabah.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah mengaktifkan jawatankuasa bagi menguruskan bencana banjir.

“Setakat ini, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan institusi pendidikan KPM telah dibuka.

“Saya menyeru agar semua mengambil langkah berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan dalam situasi banjir ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |