PETALING JAYA – Kesalahan bagi persubahatan bunuh diri dikekalkan walaupun kerajaan menyahjenayah cubaan bunuh diri di Malaysia berkuat kuasa hari ini.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kesalahan persubahatan percubaan membunuh diri diperkenalkan di bawah Seksyen 306 Kanun Keseksaan (Akta 574)
“Fokus utama kesalahan ini adalah
melibatkan golongan kanak-kanak dan golongan kurang keupayaan mental kerana golongan ini adalah terdedah kepada situasi di mana mereka mudah dipengaruhi dan dimanipulasi oleh seorang pelaku,” kata BHEUU JPM dan KKM dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, kenyataan itu berkata, kerajaan menguatkuasakan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2), Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) dan Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2025 hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, langkah berkenaan sebagai pelengkap kepada usaha menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri di Malaysia.
Jelas kenyataan itu, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023 memansuhkan Seksyen 309 Akta 574 yang memperuntukkan seorang yang cuba membunuh diri boleh didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Kerajaan menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam memupuk empati dan memastikan akses yang mudah kepada rawatan dan sokongan bagi individu yang berdepan dengan krisis kesihatan mental.
“Sesiapa sahaja yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental boleh menghubungi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental iaitu Talian HEAL di 15555 untuk mendapatkan bantuan,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Kerajaan Madani berharap reformasi undang-undang tersebut akan menjadi anjakan besar dalam usaha mencegah cubaan bunuh diri di Malaysia.
“Menggalakkan mereka yang terkesan daripada kesihatan mental untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan, menghapuskan stigma terhadap cubaan bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat membunuh diri.
“Pendekatan mengutamakan kepentingan kesihatan awam adalah selari dengan hasrat pimpinan kerajaan yang prihatin
terhadap kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE