MM2H: Pegawai imigresen dijel 8 tahun, denda RM150,000

4 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai imigresen dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM150,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membuat dokumen perjalanan palsu Pas Malaysia My Second Home (MM2H) bagi penyeludupan migran seorang lelaki warga Vanuatu, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaaan gagal menimbulkan kes melampui keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dikemukakan ke atas Shamsudin Ishak, 51, pada akhir pembelaan kesnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula daripada tarikh jatuh hukum hari ini dan dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Namun mahkamah menaikkan jumlah jaminan yang sebelum ini RM15,000 kepada RM15,000 lagi menjadikan jumlah ikat jamin keseluruhan RM30,000.

Mengikut pertuduhan, Shamsudin yang kini digantung tugas, didakwa memalsukan dokumen perjalanan Pas MM2H seorang lelaki warga Vanuatu, Li Xingqiang, bagi tujuan memudahkan penyeludupan migran. Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat unit MM2H, Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya pada Jun 2022.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam T. Harpal Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum atas alasan ia kesalahan pertama tertuduh dan anak guamya kesal atas perbuatannya itu serta memohon maaf kepada mahkamah.

“Tertuduh yang telah berkhidmat sebagai pegawai Imigresen selama 27 tahun baru sahaja menjalani pembedahan pada lengan tangan kiri beberapa kali dan ia serius sehingga nampak tulang dan dia perlu mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Mendengar rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Che Seman memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Tertuduh telah bersubahat membantu kemasukan warga asing ke Malaysia secara tidak sah, harapkan pegar, pegar makan padi selain tertuduh telah mengkhianati amanah dan tanggungjawab tersebut dengan melakukan kesalahan yang bertentangan dengan fungsi jawatannya.

“Perbuatan tertuduh ini telah mencemarkan nama baik institusi ini (imigresen) dan keseluruhan agensi tersebut. Sebagai pegawai imigresen adalah penting untuk menjaga amanah kerana ia akan membuka ruang kepada ancaman keselamatan jenayah rentas sempadan,” kata Haslinda.

Sepanjang perbicaraan seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan dua saksi pada peringkat pembelaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |