3 individu ditahan kes hasutan, ugutan terhadap pemimpin negara

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu berusia selepas dipercayai terlibat dalam penularan video serta kenyataan berunsur hasutan dan ugutan jenayah di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ketiga-tiga kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Bukit Aman antara Isnin lalu hingga hari ini susulan laporan polis yang diterima.

“Kes pertama melibatkan akaun Facebook ‘Jibbie Sahaq’ yang memuat naik komen berunsur hasutan sehingga boleh menggugat ketenteraman awam serta mengandungi ugutan jenayah terhadap pemimpin negara.

“Seorang lelaki berusia 35 tahun telah ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, kes kedua pula membabitkan seorang lelaki berusia 69 tahun yang dipercayai menyampaikan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah dalam insiden di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, pada semalam.

Selain itu, katanya, kes berlainan melibatkan akaun Facebook ‘Ayien Rose’ yang memuat naik komen berbentuk ugutan jenayah terhadap pemimpin negara serta kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam.

“(Sehubungan itu,) seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan,” ujarnya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah atau sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan negara.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab menggunakan media sosial serta menghormati undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |