KUALA LUMPUR – Menawarkan perkhidmatan pembedahan kosmetik pada harga antara RM1,000 hingga RM15,000 bagi mencantikkan bahagian hidung, kelopak mata dan menegangkan muka.
Itu antara kegiatan yang dilakukan doktor lelaki dari Vietnam yang dipercayai tidak mempunyai lesen dan sijil sekali gus beroperasi secara haram di dua unit kondominium di Desa Petaling dan Bukit Jalil.
Perkhidmatan itu difahamkan dipromosikan di aplikasi TikTok oleh ejen klinik terbabit bagi mendapatkan pelanggan yang terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menahan sembilan warga asing dalam dua serbuan berasingan semalam.
Katanya, dalam serbuan pukul 11 pagi itu, dua warga tempatan turut ditahan masing-masing seorang lelaki dan wanita disyaki ejen klinik berkenaan.
“Serbuan di kondominium di Bukit Jalil menahan lima warga Vietnam dan seorang warga tempatan, manakala serbuan kedua di Desa Petaling menahan empat warga Vietnam dan seorang warga tempatan.
“Siasatan mendapati dua unit kediaman ini mempunyai kaitan, namun menggunakan nama syarikat yang berbeza,” katanya.
Difahamkan, serbuan turut disertai pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.
Wan Mohamed Saupee berkata warga tempatan yang menjadi ejen diberi komisen antara lima hingga 10 peratus daripada jumlah bayaran dikenakan kepada pelanggan.
“Serbuan mendapati bilik utama di kedua-dua unit kondominium disewa pada harga RM2,600 sebulan itu dijadikan bilik bedah.
“Bilik itu lengkap dengan pelbagai alat pembedahan kosmetik termasuk ubat-ubatan dipercayai diimport,” jelasnya.
Tambahnya, warga tempatan yang ditahan, disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga Vietnam disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE