‘Bukti hiburan masih mampu mendidik, semai nilai murni’

1 day ago 7

TATKALA kalendar menghampiri helaian terakhir dan detik waktu berlari menuju permulaan baharu, masyarakat sering dihidangkan dengan pesta sorak-sorai tanpa henti.

Namun di celah hiruk-pikuk itu, wujud kerinduan halus terhadap sebuah sambutan yang lebih bererti, bukan hanya meriah di mata, tetapi mengisi ruang jiwa.

Setiap kali jarum jam merapat ke angka dua belas pada malam 31 Disember, landskap hiburan lazimnya berulang. Dentuman muzik, cahaya pentas berwarna-warni dan keseronokan menjadi wajah tahunan ambang tahun baharu.

Budaya meraikan ‘kebebasan sementara’ seakan-akan dinormalisasi, hingga makna sebenar sebuah permulaan sering terlepas dari genggaman.

Namun, skrip ‘klise’ itu berjaya dipatahkan TV AlHijrah yang memilih haluan berbeza dengan mempersembahkan Konsert Malam Hijrah Bergema, sebuah acara seni berteraskan ketuhanan, kemanusiaan dan budaya tempatan.

Pendekatan itu secara halus mencabar tanggapan bahawa hiburan mesti melalaikan untuk dianggap menghiburkan, sebaliknya mengangkat seni sebagai ruang muhasabah dan penyatuan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris menegaskan, penganjuran konsert itu bukan sahaja sebuah persembahan pentas, tetapi usaha menyuburkan dakwah dalam bahasa kontemporari yang dekat dengan jiwa masyarakat hari ini.

“Konsert Malam Hijrah Bergema sebenarnya lebih daripada acara hiburan. Ini platform dakwah kontemporari, selari dengan keperluan masyarakat masa kini.

“Kami mahu buktikan hiburan masih mampu mendidik, menasihati dan menyemai nilai murni tanpa nada menghukum,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Namanzee, idea penganjuran tercetus daripada kesedaran bahawa generasi muda tidak menolak hiburan, sebaliknya mencari pengisian lebih bermakna dan berjiwa.

“Banyak lagu pop sebenarnya sarat mesej ketuhanan dan kemanusiaan. Apabila digabungkan dengan elemen nasyid, nasihat serta budaya tempatan, semua itu mampu menjadi hiburan menyeluruh, membina dan menyentuh hati,” jelasnya.

Penganjurannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tahun baharu baru-baru ini mencatat kehadiran luar jangkaan.

Bukan hanya peminat nasyid, malah golongan muda sekitar usia 20-an dan 30-an turut memenuhi dewan, membuktikan seni berteras nilai masih mempunyai tempat luas dalam arus perdana.

Menariknya, konsert ini dianjurkan secara percuma, meskipun kos penerbitan tinggi, sebagai usaha memastikan hiburan berteras nilai dapat diakses semua lapisan masyarakat.

Berbekalkan lebih 17 tahun pengalaman dalam dunia penerbitan, Namanzee percaya hiburan Nusantara dan Malaysia mampu kekal relevan tanpa mengorbankan nilai.

“Jika hiburan tidak digerakkan dengan kesedaran dan kerangka nilai betul, itu semua mudah hanyut mengikut arus luar.

“Kami mahu bina identiti hiburan mencerminkan budaya, adab dan nilai masyarakat sendiri,” tutupnya,

Konsert yang berlangsung pada malam tahun baharu itu menyaksikan penampilan barisan artis tersohor seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, serta kumpulan Munsyid Muda merangkumi Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath dan Andika.

Turut menyerikan malam ialah legenda tanah air Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Nash, masing-masing menyampaikan karya berunsur dakwah dan kerohanian.

Antara lagu dipersembahkan termasuk Pergi Tak Kembali, Intifada, Kasih Kekasih, Nurkasih, Pada Syurga Di Wajahmu, Mahligai Syahdu, Ghazal Untuk Rabiah dan Kian.
Paling penting, TV AlHijrah turut menyatakan hasrat menjadikan konsert Malam Hijrah Bergema sebagai inisiatif jangka panjang, berpotensi dianjurkan secara tahunan sempena ambang tahun baharu.

kapsyen:

Konsert Malam Hijrah dilangsungkan pada ambang tahun baharu bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Raja Pop, Jamal Abdillah turut menyerikan konsert Malam Hijrah dengan persembahan bertenaga, namun pada masa sama, penuh penginsafan.

MALAM Hijrah Bergema bukan sahaja menawarkan alternatif kepada sambutan ambang tahun baharu, malah membuka ruang baharu untuk masyarakat menyambut permulaan tahun dengan ketenangan jiwa, muhasabah dan hiburan membina.

Kumpulan nasyid popular, Hijjaz tidak terkecuali menghidupkan Malam Hijrah dengan seleksi popular mereka.

Read Entire Article
Pertanian | | | |