Hampir dua dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, nama Zahiril Adzim kekal berada dalam kelas tersendiri sebagai antara pelakon paling disegani di Malaysia.
Sering kali dikaitkan dengan naskhah-naskhah berat yang menuntut kekuatan emosi dan fizikal, pemenang anugerah Pelakon Filem Lelaki Popular itu tidak pernah tangkap muat dalam menerima tawaran.
Ketika saat industri dibanjiri dengan naskhah cinta komersial, pemilik nama lengkap Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar itu lebih selesa memilih jalan sukar dengan meneroka watak-watak yang dianggap tabu atau jarang disentuh pelakon lain.
Tampil dengan karya berbeza yang mengetengahkan isu transgender berjudul Amira Amir, dia mengakui sangat peka dengan hala tuju sesebuah penceritaan sebelum memberikan persetujuan untuk terlibat dalam sesebuah projek.
“Sudah semestinya saya fikir sebelum terima tawaran, nak kena tengok cerita fasal apa. Sebelum ini pernah buat cerita yang mungkin orang tak berapa berkenaan macam Pekak.
“Saya seorang pelakon dan tugas saya menghidupkan watak yang diamanahkan tetapi kerana cerita ini mengenai golongan transgender, saya tengok hala tuju cerita ini, untuk apa.
“Kalau menjurus lorong lampu merah, saya tolak bagi orang lain. Tapi cerita ini watak Ziyad tidak tahu dan secara tidak sengaja berkahwin dengan transgender, jadi saya okey. Sebagai pelakon ini satu cerita yang seronok untuk dikupas ,” katanya kepada HibGlam.
Babak gaduh
Tambahnya, babak paling digemari dalam Amira Amir adalah bagaimana sesebuah watak mencerminkan realiti pahit dalam masyarakat terutama isu penderaan mental dalam institusi kekeluargaan.
“Sejujurnya, dalam cerita ini saya paling suka babak bergaduh dengan abang (Fezrul Khan). Isu ini ramai orang tengah hadapi.
“Saya sendiri ada abang, gaduh-gaduh dengan abang itu biasa. Masa penggambaran saya ambil masa untuk ‘settle down’.
“Maknanya, lepas babak bertumbuk, menangis, saya ambil beberapa minit untuk tenangkan diri.
“Ziyad dari kecil didera secara mental oleh abangnya. Betapa kata-kata orang yang kita sayang boleh mencederakan emosi,” jelasnya.
Ditanya mengenai dirinya, Zahiril berkata dia seorang yang tenang dan merancang masa depan dengan teliti.
“Saya anak ketiga, ada kepala, ego sendiri, saya mengaku benda itu.
“Dari kecil sampai besar, apa pun jadi dalam keluarga saya okey saja. Saya mengalah pun tak apa.
“Tapi saya ada langkah sendiri untuk susun hidup saya. Apa yang saya kejar hari ini adalah benda yang saya susun daripada muda.
“Saya masuk Aswara, nak cari ilmu lakonan dan jadi pelakon. Ini benda yang saya susun dari sekolah, sebenarnya saya hidup atas impian,” tutupnya.

4 hours ago
3





![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)












![[VIDEO] Wanita haid boleh datang masjid ketika solat raya – UAI](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/Majlis-Ilmu-Madani-di-Masjid-Putra-di-sini-malam-ini..jpeg)






























