Polis cari pelaku kes serangan Cikgu Chandra

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden khianat serta ugutan jenayah membabitkan aktivis, S. Chandrasegaran, 47, atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ yang berlaku di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima dua laporan berasingan berhubung kejadian pada semalam dan hari ini.

“Bagi insiden pertama, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala bagi insiden kedua, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Kenan berkaitan kejadian khianat dengan api yang melibatkan kenderaan di lokasi yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Shazeli berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan terperinci dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti motif serta pelaku yang terlibat.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta untuk memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak polis bagi melengkapkan proses siasatan.

Beliau turut memberi peringatan tegas agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi mahupun provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta ketenteraman awam.

Tambahnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang disyaki menyerang rumah Chandra di Taman Kinrara.

Suspek yang memakai topeng hitam itu kemudian memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.

Dalam kejadian berasingan, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah Chandra kira-kira pukul 3.20 pagi tadi sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol.

Tindakan itu menyebabkan sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga milik Chandra musnah 100 peratus manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas akibat kebakaran itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |