PETALING JAYA – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang pelajar pelatih ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan tangki air di Menara Saujana Perdana 1, Sungai Buloh, Selangor pada 16 Jun lalu.
Mangsa, Muhammad Adam Danish Mohd. Anuar, 24, dilaporkan meninggal dunia semasa menjalankan tugas tersebut.
Ketua Pengarah JKKP, Hazlina Yon berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan telah mengambil tindakan segera sejurus menerima laporan mengenainya.
“Sejurus menerima pemberitahuan kejadian, pegawai penyiasat JKKP Selangor telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Pihak JKKP telah mengeluarkan Notis Larangan Kacau Ganggu Kawasan Kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang berkaitan. Sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15, Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan tanggungjawab majikan, orang bekerja sendiri serta pihak berkaitan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta orang lain yang mungkin terjejas oleh aktiviti kerja.
Dalam pada itu, Hazlina mengingatkan semua majikan dan pekerja supaya sentiasa mematuhi keperluan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam pelaksanaan kerja di ruang terkurung.
“Setiap aktiviti kerja hendaklah dilaksanakan mengikut prosedur kerja selamat yang ditetapkan, termasuk memperoleh permit kerja yang berkaitan serta memastikan semua langkah kawalan yang bersesuaian dilaksanakan sebelum pekerja dibenarkan memasuki ruang terkurung,” katanya.
Beliau berkata, majikan juga bertanggungjawab mengenal pasti dan menilai risiko yang berkaitan dengan setiap aktiviti kerja sebelum ia dilaksanakan, terutama bagi kerja yang berisiko tinggi.
“Bagi pelajar latihan industri atau pekerja baharu yang terlibat dalam aktiviti tersebut, majikan hendaklah memastikan mereka menerima latihan, taklimat keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mencukupi serta dipantau oleh penyelia yang kompeten.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap individu memahami risiko yang dihadapi, mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan dan melaksanakan tugas dengan selamat dan sihat agar kejadian seumpama ini dapat dicegah daripada berulang pada masa hadapan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hazlina berkata, keselamatan dan kesihatan pekerja perlu menjadi keutamaan semua pihak termasuk majikan, vendor dan kontraktor yang terlibat dalam sesuatu aktiviti pekerjaan.
“JKKP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang berlaku. Majikan hendaklah memastikan keselamatan dan kesihatan semua individu yang terlibat dalam aktiviti kerja, termasuk vendor dan kontraktor, sentiasa diberi keutamaan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Muhammad Adam Danish yang merupakan penuntut tahun akhir Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia lemas ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kolam takungan air Menara Saujana Perdana 1 dan 2, Sungai Buloh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.51 pagi itu, mangsa dikatakan berada di atas tangki air sebelum dipercayai tersedut ke dalam tangki berkenaan dan gagal menyelamatkan diri.- KOSMO! ONLINE

5 hours ago
5



![[VIDEO] ‘Apa benda banyak lalu-lalang pukul 3 pagi ni ye?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/9b72c2da-096c-433c-8558-7db2cbdfe4ab.jpeg)











































