Kes Tan Sri Abu Sahid, isteri akan dibicarakan bersama

16 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Kes pengubahan wang haram membabitkan isteri Tan Sri Abu Sahid Mohamed, akan dibicarakan bersama dengan kes pecah amanah serta pengubahan wang haram yang dihadapi Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd itu di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib agar kes Puan Sri Noor Azrina Mohd. Azmi dibicarakan bersama dengan kes Abu Shahid.

“Saya benarkan kes ini (Noor Azrina) dibicarakan bersama dengan kes Abu Shahid dan menetapkan sebutan kes pada 6 April ini untuk serahan dokumen,” kata Suzana.

Terdahulu, Ahmad Akram berkata Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad yang sebelum ini mendengar pertuduhan Noor Azrina dibacakan
membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes Noor Azrina Hakim Suzana.

“Sehubungan itu, pihak kami mohon agar kes membabitkan Noor Azrina dibicarakan bersama dengan kes Abu Sahid kerana ia membabitkan transaksi yang sama dan saya percaya perkara ini tidak dibantah oleh pihak pembelaan,” kata Ahmad Akram.

Mengikut pertuduhan, Noor Azrina, 49, didakwa atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berupa wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 November 2017 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara Abu Sahid didakwa lima pertuduhan pecah amanah sebagai pengarah syarikat Maju Holdings Sdn. Bhd. diamanahkan dengan penguasaan wang milik Maju Holdings dalam akaun bank, telah melakukan pecah amanah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah lebih RM458.5 juta di sebuah bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana, di sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Abu Sahid juga didakwa atas 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM116,449,536.12 daripada akaun bank miliknya, kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama dan hukuman serupa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |