Dua anggota polis tak mengaku ambil rasuah RM1,000

6 hours ago 8

SHAH ALAM – Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah sebanyak RM1,000 agar tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki tempatan dan tiga warga asing yang tamat pas lawatan sosial, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Koperal Azizan Asmuni,46, dan Lans Koperal Mohd. Ekbar Zamanhuri, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Azizan didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun bernilai RM1,000 menerusi akaun bank, ketika melakukan rondaan di sebuah stesen minyak di Serdang, pada 6 Disember 2023.

Mohd. Ekbar pula didakwa bersubahat memberikan maklumat akaun milik sebuah syarikat atas nama seorang wanita berusia 37 tahun, semasa melakukan rondaan dengan Azizan di lokasi sama pada tarikh sama.

Ini sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu dan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tempoh lawatan sosial mereka telah tamat.

Semasa kejadian kedua-dua tertuduh yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dengan Mohd. Ekbar merupakan bekas atlet berbasikal kebangsaan.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM10,000 setiap seorang bersama seorang penjamin.

Selain itu, syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Mohd. Hafizuddin Khan Norkhan yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah utama keluarga.

Menurutnya, Azizan yang berkhidmat sejak 2004 sudah berkahwin dan mempunyai enam anak dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

“Manakala Mohd. Ekbar yang berpendapatan RM2,500 sebulan merupakan bapa tunggal tiga anak serta menanggung nafkah RM1,500 sebulan,” jelasnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 20 Julai ini.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |