JASIN – Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang menyebabkan dua lelaki parah, termasuk mengalami pendarahan dalam otak, di Jalan Gapam, Bemban awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan sekitar Melaka antara pukul 3 petang hingga 6.50 petang semalam.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut tercetus selepas beberapa individu berkumpul di sebuah stesen minyak di Bemban bagi menyelesaikan pertikaian berhubung sebuah beg tangan milik wanita dikenali sebagai ‘Rina’ yang didakwa diambil oleh seorang pemuda berusia 19 tahun.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berlaku pertengkaran mulut sebelum seorang daripada mereka menampar lelaki berkenaan.
“Lelaki itu kemudian menghubungi ahli keluarganya untuk mendapatkan bantuan sebelum beberapa individu lain tiba di lokasi dengan membawa sebatang kayu dan pergaduhan tercetus,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati beberapa individu terlibat saling memukul menggunakan tangan dan kayu sehingga menyebabkan dua lelaki mengalami kecederaan serius.
“Seorang daripada mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, manakala seorang lagi parah pada anggota badan dan dirawat di hospital sama.
“Hasil soal siasat juga mendapati semua suspek mengaku berada di lokasi kejadian, namun terdapat individu yang mendakwa hanya meleraikan pergaduhan manakala seorang wanita pula mengaku hanya merakam video kejadian,” ujarnya.
Menurut beliau, polis turut mengenal pasti seorang lagi lelaki dikenali sebagai Alif yang masih bebas dan sedang dikesan bagi membantu siasatan.
“Pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes turut dirampas termasuk telefon bimbit, pakaian yang dipakai ketika kejadian serta sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut.
“Kesemua suspek telah ditahan dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Jasin hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 28 tahun parah selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di lokasi sama kira-kira pukul 12.10 tengah malam.
Siasatan awal ketika itu mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu melibatkan seorang wanita dikenali sebagai ‘Rina’.

1 hour ago
2















































