PETALING JAYA – AP Events bakal menganjurkan Booking Kahwin Expo 2026 selama tiga hari di Putrajaya International Convention Centre (PICC) dengan mengumpulkan pelbagai vendor perkahwinan terbaik di bawah satu bumbung.
Ekpo ini direka khas untuk membantu pasangan yang sedang merancang majlis perkahwinan mendapatkan pelbagai perkhidmatan penting dalam satu lokasi iaitu daripada perkara berkaitan pelamin, busana, katering, jurugambar, dewan, buah tangan sehinggalah pakej bulan madu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan AP Events yang memiliki pengalaman luas dalam bidang penganjuran ekspo perkahwinan ini akan membantu pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dalam persiapan hari bahagia mereka mengikut bajet masing-masing.
“Melalui konsep yang praktikal dan berfokus kepada keperluan pengantin masa kini, Booking Kahwin Expo bukan sekadar tempat mencari idea, tetapi destinasi untuk merealisasikan perancangan perkahwinan dengan lebih yakin dan teratur.
“Kami memilih PICC kerana ia bukan sekadar sebuah venue ikonik, malah menyediakan persekitaran yang sesuai untuk bakal pengantin membuat perbandingan, mendapatkan inspirasi dan membuat tempahan dengan lebih tenang dan teratur,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan tersebut menerangkan, acara Booking Kahwin Expo 2026 akan memberi penekanan kepada elemen visual, susun atur ruang dan kerjasama strategik bersama pemain industri bagi mewujudkan suasana yang lebih menarik dan inspiratif untuk bakal pengantin.
“Pengunjung bukan sahaja berpeluang meneroka pelbagai perkhidmatan perkahwinan, malah dapat melihat sendiri trend terkini dalam dunia perkahwinan melalui pameran, dekorasi dan persembahan visual yang disediakan sepanjang acara berlangsung.
“Dengan penyertaan pelbagai jenama dan penyedia perkhidmatan terkenal industri, ekpo ini menjadi platform yang membantu pasangan mendapatkan gambaran lebih jelas tentang konsep majlis yang mereka impikan,” jelasnya.
Tambah kenyataan, terdapat lebih 200 vendor daripada pelbagai kategori perkhidmatan perkahwinan iaitu daripada dewan, katering, pelamin, busana, buah tangan, jurugambar hinggalah kepada aksesori perkahwinan, semuanya tersedia dalam satu lokasi untuk memudahkan bakal pengantin membuat perbandingan. -KOSMO! ONLINE

7 hours ago
8



![[VIDEO] ‘Apa benda banyak lalu-lalang pukul 3 pagi ni ye?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/9b72c2da-096c-433c-8558-7db2cbdfe4ab.jpeg)











































