WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) memusnahkan 10 kapal pemasang periuk api Iran ketika Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Tehran mengenai akibat ketenteraan yang belum pernah berlaku jika ia menyasarkan Selat Hormuz, lapor akhbar Arab News.
Kenyataan Trump itu dibuat selepas Tehran berikrar tiada minyak Teluk akan melalui laluan perairan utama itu, dengan harga minyak kekal sangat tidak stabil berikutan hampir terhentinya penghantaran di selat tersebut.
“Saya gembira untuk melaporkan dalam beberapa jam terakhir bahawa kami telah menyerang dan memusnahkan sepenuhnya 10 bot dan/atau kapal pemasang periuk api tidak aktif serta lebih banyak lagi akan menyusul!” kata Trump di platform Truth Social.
Selepas beberapa media AS melaporkan Iran memulakan atau hampir memasang periuk api di Selat Hormuz, Trump menyatakan bahawa beliau tidak menerima laporan di mana tindakan sedemikian telah bermula.
Namun, Trump memberi amaran: “Jika atas apa jua sebab periuk api diletakkan, dan ia tidak dikeluarkan serta-merta, akibat ketenteraan terhadap Iran akan berada pada tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini.
“Sebaliknya, jika mereka mengeluarkan apa sahaja yang mungkin telah diletakkan, ia akan menjadi langkah besar ke arah yang betul!” katanya.
AS akan menggunakan peluru berpandu yang digunakannya sebelum ini untuk memusnahkan kapal-kapal penyeludup dadah di perairan Amerika Latin bagi menghapuskan secara kekal mana-mana bot yang meletakkan periuk api di selat Teluk itu.
“Mereka akan diatasi dengan cepat dan ganas,” tambah Trump.
Hampir satu per lima daripada pengeluaran minyak global melalui Selat Hormuz. – AGENSI

6 hours ago
6














![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)


































