14 saksi dijangka beri keterangan kes pelajar maut ditikam

3 hours ago 2

SHAH ALAM – Kira-kira 14 saksi akan memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes remaja lelaki menikam mati seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Oktober tahun lalu.

Peguam Kitson Foong yang mewakili remaja lelaki itu berkata, Hakim Adlin Abdul Majid menetapkan prosiding tersebut berlangsung selama 10 hari iaitu pada 3 hingga 7, dan 10 hingga 14 Ogos.

Menurutnya, pihak pendakwaan, pembelaan dan remaja lelaki yang terlibat telah menandatangani pernyataan fakta yang dipersetujui serta isu-isu yang akan dibicarakan.

“Seramai 10 hingga 14 saksi termasuk remaja lelaki yang terlibat dijangka memberi keterangan di Mahkamah.

“Kami bersetuju bahawa kejadian itu memang berlaku, lokasi kejadian dan senjata digunakan selain kes ini dipercepatkan malah saksi-saksi penting sahaja akan dipanggil memberi keterangan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, hakim menekankan supaya ubat serta rawatan kepada remaja lelaki itu diberikan mengikut jadual yang ditetapkan doktor diberikan mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor.

Pendakwaan dalam kes terbabit, dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz.

Hadir sama ialah peguam pemerhati, Datuk Yasmeen Shariff dan Jason Lim Jie Sheng dari Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Prosiding dijalankan secara tertutup dan hanya keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di bilik bicara kerana melibatkan kes Juvana.

Kosmo! sebelum ini melaporkan remaja lelaki itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun tersebut.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh mangsa di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi, 14 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |