SUNGAI PETANI – Padah memandu kereta secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan Ahad lalu, seorang lelaki warga China terpaksa meringkuk dalam penjara selama sehari dan didenda RM10,000.
Tertuduh, Lu Xun, 55, yang juga pengusaha kilang plastik turut hilang kelayakan memandu selama dua tahun selain berdepan hukuman penjara tambahan selama 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut. Lu Xun membayar denda berkenaan.
Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Lu Xun yang lebih 30 tahun menetap di Malaysia didakwa memandu kenderaan secara berbahaya kepada orang awam dengan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di Jalan Lencongan Barat, di sini pada pukul 9.20 malam, 26 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM15,000, penjara maksimum lima tahun selain hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya dua tahun.
Peguam Chong Seng Ming merayu hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya mengaku bersalah dan memohon maaf kepada mahkamah, polis dan pemilik kenderaan terlibat.
Katanya, pemandu dan penumpang tidak mengalami kecederaan dan tertuduh berjanji akan menanggung sepenuhnya kos pembaikan kenderaan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Mohd. Noor memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana perbuatan memandu melawan arus boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Terdahulu, tertuduh yang berkerusi roda dilihat dalam keadaan tidak stabil kerana menghidap diabetes sebelum ditenangkan anak perempuannya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki mencetuskan kekecohan apabila memandu kereta Perodua Myvi secara melawan arus sejauh 500 meter sebelum bertembung dengan kereta Proton Saga BLM yang dipandu lelaki tempatan. Siasatan awal mendapati tertuduh dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2















































